comscore
Tumpuan :
Nasional

KBS belanja RM19.8 juta untuk Sukan SEA Kemboja 2023.

Hannah umum KBS belanja RM19.8 juta untuk persiapan hadapi Sukan SEA Kemboja 2023.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membelanjakan RM19.8 juta membabitkan 34 jenis sukan menerusi Program Podium sebagai persiapan bagi Sukan SEA Kemboja 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata tumpuan diberikan kepada sukan bagi atlet berumur di bawah 23 tahun dan membuat penampilan kali pertama pada temasya dwitahunan itu.

Katanya, peruntukan itu meliputi perbelanjaan pengurusan atlet berjumlah RM8.2 juta merangkumi elaun latihan bulanan, makanan, penginapan, pengangkutan serta pakaian latihan.

“Pengurusan jurulatih merangkumi gaji dan elaun jurulatih berjumlah RM3 juta serta pengurusan pusat latihan sebanyak RM1.1 juta.

“Perbelanjaan bagi pengurusan prestasi yang merangkumi latihan pendedahan dalam dan luar negara, pertandingan dalam dan luar negara serta Program Binaan adalah sebanyak RM7.5 juta,” katanya  di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung peruntukan dibelanjakan sepanjang program latihan persediaan atlet sebagai persiapan ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Hannah, berkata KBS juga berjaya menjimatkan kos penyertaan Sukan SEA sebanyak RM1.1 juta berikutan pihak tuan rumah mengumumkan kos penyertaan kontinjen akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

Foto NSTP

Katanya, penjimatan itu akan disalurkan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bagi menampung perbelanjaan latihan atlet sepanjang tempoh persediaan ke Sukan SEA Kemboja.

Pada temasya berkenaan, kontinjen negara gagal menepati sasaran 40 pingat emas apabila hanya membawa pulang 34 emas.

Menjawab soalan tambahan Adnan, sama ada KBS bercadang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam mengadakan program persediaan atlet di sekolah dengan menyediakan infrastruktur dan peralatan sukan, Hannah, berkata kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa peringkat tinggi untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat khusus untuk tiga acara sukan iaitu sukan tempur, olahraga dan renang.

Foto NSTP

“Kenapa sukan tempur kerana di Kemboja kita lihat Malaysia cemerlang, bermaksud kita kena letak lebih banyak lagi masa dan perhatian terhadap sukan berkenaan.

“Olahraga dan renang, kita lihat sekarang ini adalah kelemahan, di mana kita tidak memaksimumkan bakat sedia ada. Melihat keperluan itu, jawatankuasa berkenaan akan membabitkan kerjasama langsung pihak KBS, kementerian pendidikan dan kementerian pendidikan tinggi,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga menteri akan bermesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri esok untuk memastikan koordinasi antara tiga kementerian utama.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan mencungkil bakat dalam kalangan tentera, polis dan badan penguatkuasa supaya mereka dibabitkan dalam pembangunan sukan negara.

Loading...
Terkini