comscore
Tumpuan :
Sukan

Hoki Piala Razak: Pahang Kekal Rekod Empat Kemenangan

FOTO: MHC

BUKIT JALIL: Pasukan hoki wanita Pahang berjaya mengekalkan rekod empat kemenangan pada saingan peringkat kumpulan B selepas menamatkan aksi terakhir dengan kemenangan 5-0 ke atas pasukan Singapura.

Ia menyaksikan Pahang menepati ramalan selaku pasukan pilihan utama untuk bergelar juara selepas turut meledak 25 gol dan hanya sekali bolos, dan turut mengutip 12 mata penuh.

Mara ke peringkat seterusnya iaitu kumpulan W – Super, Pahang turut diiring Pulau Pinang selaku naib juara kumpulan B selain dua pasukan terbaik dari kumpulan A iaitu Selangor dan Melaka.

Pulau Pinang berjaya mara selepas mengatasi ATM 3-1 dalam satu lagi perlawanan di sebelah pagi menyaksikan pasukan dari utara itu mengutip 9 mata hasil tiga kemenangan yang dicipta.

Kumpulan W-Z Bottom pula diisi Kuala Lumpur, ATM dan Singapura dengan baki satu slot lagi jadi rebutan antara Terengganu dan Negeri Sembilan yang akan bermain penentuan play-off Khamis nanti.

Saingan kumpulan W – Super akan bersambung sebelah pagi esok dengan jadual baharu yang dikeluarkan MHC menyaksikan Selangor akan bertemu Pulau Pinang, manakala Pahang akan menentang Melaka.

Dua pasukan teratas dalam kumpulan W – Super akan beraksi dalam penentuan kejuaraan Ahad nanti.

Loading...
Terkini