KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei hampir pasti digandingkan dengan pemain beregu campuran, Choong Hon Jian.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata dia akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih beregu campuran, Nova Widianto sebelum memuktamadkan keputusan berkenaan.
“Untuk Sze Fei, apa yang saya boleh katakan kemungkinan dia digandingkan dengan Hon Jian adalah 80 hingga 90 peratus. Saya akan bincang dengan Nova mengenai perkara ini sama ada Hon Jian boleh bermain dalam dua acara atau sebaliknya.
“Kalau kita lihat usia Hon Jian ketika ini, bagi saya kalau digandingkan bersama (Sze Fei) ia cukup baik apatah lagi ia akan bagi pendedahan yang baik kepada pemain ini. Malah ia juga sesuai dengan cara permainan Sze Fei sebagai seorang ‘playmaker’.
“Selama ini kalau kita lihat pasangan Sze Fei sebelum ini iaitu Nur Izzuddin Rumsani dia ada kekuatan pukulan ‘smash’ dan saya lihat Hon Jian ada benda itu. Waktu kita gandingkan mereka bersama (Hon Jian-Sze Fei) mereka mempunyai keserasian yang sangat baik dalam gelanggang ketika menentang Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam sesi latihan baru-baru ini.
“Jurulatih Tan Bin Shen dan Hoon Tien How bersetuju dengan keputusan ini cuma saya akan bincang dengan Nova,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan skuad negara di ABM Bukit Kiara, hari ini.
Hon Jian yang ketika ini berpasangan bersama Yap Ling dalam acara beregu campuran pernah mempunyai pengalaman beraksi dalam acara beregu lelaki apabila pernah bergandingan bersama Kai Wun dan Chen Tang Jie sebelum ini.
Ditanya mengenai pasangan baharu buat Nur Izzuddin, Rexy masih lagi berteka-teki tetapi menegaskan ia tidak akan membabitkan gandingan Kai Wun-Wei Chong yang ketika ini mengintai peluang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Ia tidak akan babitkan gandingan Kai Wun-Wei Chong. Kita ada ramai pemain muda dan baharu yang kita boleh gandingkan nanti,” katanya yang turut memberitahu akan mengumumkan pasangan baharu buat Sze Fei dan Nur Izzuddin pada Selasa ini.