comscore
Tumpuan :
Sukan

Inter selangkah ke pentas final Liga Juara-Juara

Inter Milan meraikan kejayaan selepas aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara. – Foto: AFP

MILAN: Inter Milan nyata berada di landasan selesa apabila hanya tinggal selangkah lagi untuk mara ke pentas final Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas AC Milan dalam saingan separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Inter mempunyai kelebihan menjelang saingan kedua separuh akhir, berterima kasih kepada jaringan pertama Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan dalam tempoh 11 minit awal permainan.

Pasukan itu mungkin boleh mencatat jumlah jaringan lebih besar dalam perlawanan namun rembatan Hakan Calhanoglu tersasar manakala Dzeko terlepas peluang yang terhidang pada awal babak kedua.

Pemain Inter Milan, Henrikh Mkhitaryan (kiri) menjaringkan gol kedua ketika menentang AC Milan. – Foto: Reuters

Inter menjadi pilihan utama untuk mara ke pentas final kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak kali terakhir mereka menjulang trofi berkenaan, 13 tahun lalu.

“Kadangkala saya tidak menjaringkan gol dan itu menjadi topik perbualan namun saya juga memberikan sesuatu yang lain,” kata Dzeko kepada media mengenai jaringan ketiganya sejak Januari lalu.

“Hari ini, saya berusaha untuk pasukan dan itu adalah sesuatu yang paling diperlukan dalam perlawanan penting.”

Mara ke pentas final pastinya akan mengubat duka Inter yang sebelum ini pernah ditunjuk jalan keluar di separuh akhir dan suku akhir di tangan Milan pada 2003 dan 2005.

Pemenang dijadual bertemu sama ada penyandang juara Real Madrid atau Manchester City di pentas final pada 10 Jun depan di Istanbul.

Semalam, Real Madrid dan Manchester City masing-masing terikat 1-1 di Stadium Santiago Bernabeu. – AFP

Loading...
Terkini