comscore
Tumpuan :
Sukan

Debaran final City-Inter makin terasa

Replika gergasi trofi Liga Juara-Juara di Taksim Sqaure, Istanbul, Turkiye menyemarakkan suasana menjelang aksi final antara Manchester City dan Inter Milan. – Foto: Reuters

ISTANBUL: Stadium Olimpik Ataturk di Istanbul, Turkiye menjadi gelanggang perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2023 awal pagi Ahad ini ketika Manchester City berusaha untuk merangkul trofi itu buat julung kali berdepan juara tiga kali Inter Milan.

Sekalipun ia adalah final Piala Eropah kedua buat City, ia adalah yang kedua dalam tiga musim sesudah tewas pada pertembungan sesama kelab Inggeris 1-0 di tangan Chelsea di Porto, Portugal pada 2021.

Inter melangkah ke pentas final buat kali pertama sejak merangkul kejuaraan Piala Eropah kali ketiga di Madrid pada 2010 dan ia adalah penampilan final keenam mereka dan seperti City, kali kedua dalam Liga Juara-Juara.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City tidak tewas musim ini dalam Liga Juara-Juara, menang tujuh daripada 12 perlawanan dalam laluan ke Istanbul dengan menyingkirkan Bayern Munich dan penyandang juara Real Madrid.

Mereka boleh muncul kelab ke-15 menjulang trofi itu tanpa kalah sebarang perlawanan dan kelapan dalam era Liga Juara-Juara.

Inter, pemenang Piala Itali 2022-23, mengalami dua kekalahan dalam laluan ke final kali ini, kedua-duanya menentang Bayern pada aksi pertama dan terakhir kempen peringkat kumpulan. Mereka menang empat daripada enam perlawanan pusingan kalah mati, tidak ditembusi gol dalam lima aksi.

Ia juga pertembungan sulung kedua-dua pasukan. Ia kali pertama sejak Liverpool menewaskan musuh tetangga Inter, AC Milan menerusi penentuan penalti pada 2005, dalam satu-satunya final Liga Juara-Juara diadakan di Istanbul, dengan kedua-dua finalis tidak pernah bertembung dalam pertandingan UEFA.

Ederson, Kyle Walker, John Stones, Ruben Dias, Bernardo Silva, Ilkay Gundogan, Phil Foden, Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez semuanya bermula dalam kesebelasan utama ketika City kalah di tangan Chelsea di Estadio do Dragao di Porto dua tahun lalu.

Scott Carson, Nathan Ake, Aymeric Laporte dan Rodri tampil sebagai pemain simpanan yang tidak diturunkan bagi skuad kendalian Pep Guardiola.

City boleh muncul kelab ke-23 memenangi Piala Eropah dan nama baharu pertama di trofi itu sejak kejayaan Chelsea pada 2012.

England meraih 14 kejayaan Piala Eropah daripada 25 penampilan final; dalam era Liga Juara-Juara UEFA ia adalah enam kemenangan dan sembilan kekalahan. Ini kali kelima dalam enam final terakhir Liga Juara-Juara membabitkan wakil EPL.

Ini penampilan ketiga City dalam final pertandingan Eropah. Mereka menewaskan kelab Poland, Gornik Zabrze 2-1 di Stadium Prater, Vienna pada final Piala Pemenang Piala 1969-70.

Guardiola, pemenang bersama Barcelona pada 2009 dan 2011, boleh muncul jurulatih keenam memenangi Piala Eropah bersama dua kelab berbeza, selepas Ernst Happel (Feyenoord 1970, Hamburg 1983), Ottmar Hitzfeld (Borussia Dortmund 1997, Bayern 2001), Jose Mourinho (Porto 2004, Inter 2010), Jupp Heynckes (Real Madrid 1998, Bayern 2013) dan Carlo Ancelotti (AC Milan 2003, 2007, Real Madrid 2014, 2022).

Gundogan menjaringkan gol Dortmund menerusi sepakan penalti ketika kalah 2-1 di tangan Bayern pada final Liga Juara-Juara 2013. Hanya tiga pemain menjaringkan gol buat kelab berbeza pada final Piala Eropah; Velibor Vasovic (Partizan 1966, Ajax 1969), Cristiano Ronaldo (Manchester United 2008, Real Madrid 2014, 2017) dan Mario Mandzukic (Bayern 2013, Juventus 2017).

Jika menang, Inter akan melengkapkan koleksi empat kejuaraan Piala Eropah, menyamai pencapaian Ajax dan di belakang Real Madrid (14), AC Milan (tujuh), Bayern, Liverpool (kedua-duanya enam) dan Barcelona (lima). Mereka kini mengumpul tiga kejuaraan di samping musuh tetangga City, Manchester United.

Inter adalah pasukan terakhir Itali memenangi Liga Juara-Juara malah hanya satu kelab Serie A tampil pada final sejak mereka menewaskan Bayern di Madrid 13 tahun lalu dengan Juventus kalah pada 2015 dan 2017.

Kelab Itali menang dalam 12 final Piala Eropah, tewas 16. Dalam era Liga Juara-Juara, rekod mereka adalah lima kemenangan dan lapan kekalahan.

Nerazzurri tewas 3-2 kepada Sevilla pada final Liga Europa 2020, menjadikan rekod mereka pada final UEFA secara keseluruhan kepada lapan kali menang dan lima tewas.

Loading...
Terkini