comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT kelab ke-15 terbaik Asia, ke-250 dunia

Barisan kesebelasan utama JDT ketika perlawanan pramusim dengan kelab Bulgaria, Levski Sofia di Dubai, kelmarin. FOTO: Johor Southern Tigers/ Facebook

KUALA LUMPUR : Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan selaku kelab ke-15 terbaik di Asia pada 2022.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu menduduki tempat ke-250 daripada 500 pasukan terbaik kelab bola sepak lelaki dunia 2022 menerusi senarai dikeluarkan Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS).

Kelab Liga Korea atau K League, Jeonbuk Hyundai Motors dinobatkan selaku kelab terbaik Asia apabila menduduki tempat ke-42 dunia.

Satu lagi kelab K League, Ulsan Hyundai FC muncul pasukan kedua terbaik Asia selepas menduduki tempat ke-99 diikuti kelab Al Hilal dari Arab Saudi yang menduduki tempat ke-115.

Menurut IFFHS, kelab Serie A Brazil, CR Flamengo adalah kelab terbaik di dunia selepas meraih dua kejuaraan iaitu Copa do Brazil 2022 dan Copa Libertadores.

Satu lagi kelab Brazil, SE Palmeiras menduduki tempat kedua diikuti gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, Chelsea dan Manchester City masing-masing di tempat ketiga, keempat dan kelima.

Pengiktirafan diperoleh JDT itu pastinya hasil daripada aksi cemerlang pada kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu apabila melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik.

JDT menyapu bersih semua empat trofi domestik musim lalu apabila menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia dengan rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang musim dalam semua kejuaraan dipertandingkan.

Berbekalkan kedudukan ke-250 di dunia, JDT mengatasi beberapa kelab lebih terkemuka seperti FC Lorient (Perancis), Vissel Kobe (Jepun), FC Seoul (Korea Selatan), Torino FC (Itali) dan Brentford (England). – HARIAN METRO

Loading...
Terkini