comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT menang selesa ke atas KL City

Fernando Forestieri menjaringkan dua gol ketika membantu JDT menundukkan KL City 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini. – FOTO: Ihsan JST.

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke puncak Liga Super apabila membenam Kuala Lumpur (KL) City 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini sebentar tadi.

Mudah mendominasi permainan sejak wisel pertama, JDT bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-43 untuk membuka tirai jaringan menerusi percubaan Fernando Forestieri.

Itu pun selepas pengadil, Nazmi Nasaruddin membuat semakan melalui video bantuan pengadil (VAR).

Selepas itu, benteng KL City terus robek.

Juan Muniz menggandakan kelebihan buat Harimau Selatan menerusi sepakan percuma pada minit kelima waktu kecederaan separuh masa pertama.

Saingan berikutnya semakin sengit.

Tiga minit kemudian, juga pada waktu kecederaan, pengadil memberikan KL City sepakan penalti untuk disudahi oleh ketua pasukannya, Paulo Josue.

Separuh masa kedua, JDT kembali mendominasi.

Bermula dengan gol kedua peribadi daripada Forestieri, JDT melebarkan kedudukan giliran Muniz melengkapkan gol kedua peribadi.

Penguasaan JDT semakin selesa apabila pemain gantian, Syahmi Safari menjaringkan gol terakhir perlawanan pada minit ke-88.

Menang 5-1, JDT mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Aksi Piala Sumbangsih yang turut dianggap perlawanan pertama Liga Super musim ini, JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 selepas Selangor menarik diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini