comscore
Tumpuan :
Sukan

Jerman mula pamer taring dibawah Nagelsmann

Pemain tengah Jerman, Jamal Musiala (kanan) bersaing dengan pertahanan AS, Joe Scally pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Pratt & Whitney, East Hartford, Connecticut awal pagi tadi. – FOTO Reuters

NEW YORK: Julian Nagelsmann bermula langkah kanan sebagai jurulatih Jerman apabila pasukannya berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi.

Jerman di bawah Nagelsmann dilihat sebagai pasukan yang lebih baik berbanding skuad yang tewas 4-1 di laman sendiri kepada Jepun bulan lalu, keputusan yang menyebabkan Hansi Flick dipecat sebagai jurulatih selepas rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan.

Tuan rumah Euro 2024 itu mempamerkan persembahan mantap selepas bangkit daripada ketinggalan susulan gol Christian Pulisic pada perlawanan di East Hartford, Connecticut.

Pulisic meletakkan AS di depan pada minit ke-27 dengan satu gol solo menakjubkan, meluru dari sebelah sayap kiri sebelum merembat kencang ke penjuru gol.

Namun ia bagai mengejutkan Jerman daripada tidur lena dengan Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan pada minit ke-39 selepas kerja keras Leroy Sane.

Sane menggelecek benteng pertahanan AS, bermain satu dua dengan Gundogan sebelum cuba mengatasi penjaga gol Amerika, Matt Turner, yang menumbuk bola dan singgah di kaki Gundogan.

Jerman mendahului pada minit ke-58 apabila penyerang tengah Niclas Fuellkrug meledak masuk berikutan hantaran menarik Robin Gosens.

Ketika benteng AS kelam-kabut, Fuellkrug kemudian mengumpan kepada Jamal Musiala yang mudah menampan masuk untuk menjadikan kedudukan 3-1 buat tuan rumah Euro 2024 itu.

Jerman akan berdepan Mexico di Philadelphia awal pagi Rabu ini manakala AS menentang Ghana di Nashville.

AS dan Mexico adalah tuan rumah bersama pusingan akhir Piala Dunia 2026 selain Kanada. – Agensi

Loading...
Terkini