comscore
Tumpuan :
Sukan

Juara Masters Malaysia tunggu Tze Yong di Tokyo

SEPANG: Selepas ‘lulus’ dengan cemerlang pada penampilan sulung di Sukan Komanwel Birmingham 2022, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan berdepan satu lagi ujian apabila beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, Tze Yong yang layak pada saat akhir akan membuka tirai kempen menentang juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo di pusingan pertama.

Jika menang, dia diramal bertemu pemain Jepun, Kanta Tsuneyama di pusingan kedua sebelum dijangka berdepan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan ketiga.

Mengulas mengenai laluannya di Kejohanan Dunia kali ini, Tze Yong yang berusia 22 tahun enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu, sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan mempamerkan prestasi terbaik.

“Saya tidak mahu terlalu fikir banyak sebaliknya akan buat yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya akan bincang dengan jurulatih untuk memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia kali ini,” kata Tze Yong ketika ditemui sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Di Birmingham, Tze Yong yang menggantikan tempat Lee Zii Jia membalas kepercayaan yang diletakkan di atas bahunya apabila beraksi cemerlang dengan menang semua perlawanan dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Ini termasuklah ketika pemain ranking ke-42 dunia itu menumbangkan bekas pemain nombor satu dunia, K Srikanth ketika aksi final bagi membantu Malaysia mengatasi India 3-1 sekali gus memenangi pingat emas.

Dia juga cemerlang dalam saingan individu apabila berjaya memenangi pingat perak.

Dalam laluannya ke final, dia mengatasi juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir sebelum sekali lagi menewaskan Srikanth di separuh akhir tetapi terpaksa akur tewas di tangan Lakshya Sen dari India pada penentuan emas.

Sementara itu, Zii Jia akan membuka tirai kempen di Tokyo menentang pemain Perancis, Brice Leverdez manakala Liew Daren menentang Axelsen di pusingan pertama. – Berita Harian

Loading...
Terkini