comscore
Tumpuan :
Sukan

Kelab perlu sedia RM1.5 juta bentuk pasukan pelapis

FAM kini mewajibkan setiap kelab dalam Liga Super menghantar pasukan bersaing dalam dua pertandingan peringkat umur membabitkan Piala Presiden dan Piala Belia. FOTO: fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kelab yang akan bersaing dalam Liga Super musim hadapan perlu menyediakan sekitar RM1.5 juta bagi membentuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Ia susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Isnin lalu, mewajibkan setiap kelab dalam Liga Super menghantar pasukan bersaing dalam dua pertandingan peringkat umur itu.

Perkembangan itu menyaksikan semua kelab bertanding harus memperuntukkan sebahagian daripada bajet mereka atau mencari dana tambahan untuk membentuk pasukan bawah 20 (B-20) tahun (Piala Presiden) dan B-18 (Piala Belia).

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan bahawa anggaran kos untuk menguruskan pasukan Piala Presiden antara RM500,000 ke RM900,000 dan skuad Piala Belia pula sekitar RM500,000 hingga RM600,000.

Beliau berkata, jumlah berkenaan merangkumi semua perbelanjaan bagi dua pasukan terbabit termasuk gaji pemain, pegawai dan kos pengurusan.

“Gaji pemain bagi skuad Piala Presiden biasa dalam lingkungan RM2,000 atau RM3,000. Gaji pemain belia ada pasukan yang bayar RM800 sebulan, tetapi biasa mungkin dalam RM1,000 hingga RM2,500,” katanya kepada BH Sukan.

Kos perbelanjaan dua pasukan itu mungkin boleh dikurangkan kerana FAM sebelum ini menjelaskan pasukan boleh menggunakan sebahagian pemain sama bagi pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Keputusan FAM mewajibkan pasukan Liga Super menghantar skuad Piala Presiden dan Piala Beliau sebagai langkah untuk memperkemaskan pembangunan akar umbi dalam usaha melahirkan pemain pelapis masa hadapan.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa ia juga mencetuskan kebimbangan terhadap keupayaan kelab terbabit untuk mendapatkan dana bagi menguruskan dua pasukan muda itu.

Malah, penyakit sama iaitu tunggakan gaji pemain masih lagi menular dalam Liga Super dengan beberapa pasukan dilaporkan berdepan masalah itu musim ini.

Kegagalan mendapatkan penaja terutama bagi tempoh jangka panjang dianggap menjadi masalah utama kelab Liga Super terjerumus dengan masalah kewangan sekali gus tercetusnya isu tunggakan gaji.

Selain itu, Effendi yang juga ejen pemain berpengalaman menyokong langkah yang diambil FAM sambil menjelaskan kelab di negara luar juga ada pasukan peringkat umur atau pembangunan akar umbi.

“Baguslah, benda ini memang wajib, mungkin juga ditetapkan oleh AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga.

“Kelab pun tak boleh hanya fokus kepada pasukan utama, mereka kena ada akar umbi yang mana melahirkan pemain muda untuk pelan jangka panjang.

“Saya berasa itu satu langkah yang betul. Kita memang ada pasukan yang bergelut untuk dapatkan dana, namun pasukan harus mengatur sebaik mungkin perancangan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini