comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia cemaskan Afrika Selatan sebelum  tewas 

Malaysia berjersi putih mengasak kubu Afrika Selatan namun akur dengan kekalahan tipis 2-3 (FOTO FB MHC)

IPOH –  Skuad wanita negara akur tewas 2-3  tipis kepada Afrika Selatan pasukan ranking ke-6 dunia,  pada aksi pembuka tirai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Tuanku Zara (Wanita) 2023 di Stadium Hoki Indera Mulia, Ipoh Perak, pagi tadi.

Ketua Jurulatih,  Mohd Badrul Hisham Osman menerima kekalahan tersebut dan melihat beberapa kelemahan perlu diperbaiki segera menjelang perlawanan kedua menentang satu lagi pasukan pilihan, Namibia yang berada di ranking ke-10 dunia  jam 5.30 petang ini.

Pada perlawanan pagi tadi, Malaysia yang mendudukki ranking ke-38 ketinggalan seawal minit ke-10 menerusi  pukulan sudut penalti  yang disempurnakan Malikah Hamza.

Bersambung suku kedua, Afrika Selatan menambah satu lagi gol juga susulan pukulan sudut penalti,  kali ini disudahkan oleh Garbiella Terblanche pada minti ke-13.

Memasukki suku ketiga, Malaysia merapatkan kedudukan hasil penalti stroke yang  mudah disempurnakan Iren Hussin pada minit ke-26.

Namun kekasaran yang dilakukan pemain Malaysia seminit kemudian, menyaksikan Afrika Selatan pula dihadiahkan penalti stroke  yang tidak disia-siakan Tegan Fourie untuk  menjarakkan kembali kedudukan 3-1.

Belum mahu mengalah Malaysia kembali mengasak, bagaimanapun jaringan lewat Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun sudah terlambat  menyekat kemenangan 3-2 Afrika Selatan.

“Dalam tempoh rehat yang singkat, saya akan memastikan pemain menggunakan rehat yang dimiliki dengan sebaik mungkin sebelum kami turun bertemu Namibia petang ini.

“Ini penting agar pemain dapat kembali cergas menjelang perlawanan kedua dan kami akan mengubah sedikit taktikal pasukan bagi perlawanan kedua,” kata  Mohd Badrul.

Loading...
Terkini