comscore
Tumpuan :
Sukan

Malaysia gagal sekat Thailand, penantian 33 tahun berpanjangan

Pasukan Thailand muncul juara acara regu berpasukan selepas menewaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 pada final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Keputusan dilakar di halaman sendiri itu menyaksikan skuad negara turut kempunan melengkapkan hatrik pada kejohanan tersebut selepas muncul juara acara double dan regu menumpaskan seteru tradisi itu masing-masing dengan keputusan 2-0 pada Rabu lepas.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara berpasukan ialah pada Sukan SEA Manila 1991.

Pada aksi final di hadapan lebih 2,000 penyokong itu, regu utama Farhan Adam, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias tewas 9-15 kemudian bangkit mengikat kedudukan 15-11 bagi mengheret permainan ke rubber set dan menang 15-13.

Regu kedua negara Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin bagaimanapun gagal meneruskan rentak itu apabila tunduk straight set 8-15 dan 5-15 di perlawanan kedua.

Pasukan Malaysia dinobat naib juara selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir acara regu berpasukan di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. – FOTO: NSTP

Peluang Malaysia terus tertutup apabila regu terakhir Aidil Aiman Azwawi, Zuhri Muhammad Zain dan Baihakki A’ripin tewas 12-15, 12-15 pada perlawanan penentuan.

Tekong negara Mohammad Syahir ketika ditemui berkata keputusan itu sedikit mengecewakan namun Malaysia telah membuktikan jurang perbezaan prestasi antara kedua-kedua pasukan kini semakin mengecil.

“Kami tidak akan putus asa dan semestinya tidak akan memberikan laluan mudah pada kejohanan akan datang menentang mereka,” katanya.

Korea Selatan dan Indonesia berkongsi pingat gangsa selepas masing-masing tewas di peringkat separuh akhir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini