Tumpuan :
Sukan

Marcos Alonso tolak tawaran United, pilih kekal di Barcelona

Alonso menolak peluang untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

LONDON: Marcos Alonso memutuskan untuk terus kekal di Barcelona dan tidak akan menyertai Manchester United musim ini selepas menolak kontrak dua tahun yang ditawarkan kepadanya.

Pemain berusia 32 tahun itu dilihat sebagai calon berpotensi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Luke Shaw yang terpaksa berehat beberapa bulan disebabkan kecederaan otot.

Menurut laporan Marca, United berhubung dengan Barcelona untuk mendapatkan pemain itu secara pinjaman dan menawarkan kontrak dua tahun supaya dia terus kekal di Old Trafford selepas kontraknya bersama Barcelona berakhir musim ini.

Sebaliknya, bekas pemain Chelsea itu menolak peluang untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mahu menghabiskan musim terakhirnya di Sepanyol.

Meskipun Alejandro Balde menjadi pilihan utama di posisi bek kiri, Alonso gembira untuk terus bersaing merebut tempat selepas Jordi Alba meninggalkan pasukan itu dan menyertai Inter Miami.

Alonso membuat 179 penampilan di EPL bersama Bolton, Sunderland dan Chelsea selain memenangi gelaran liga bersama The Blues pada 2017.

Dia turut memenangi lima lagi trofi utama sepanjang enam tahun bersama Chelsea iaitu Piala FA, Liga Europa, Liga Juara Juara, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab. — AGENSI

Loading...
Terkini