comscore
Tumpuan :
Sukan

Akui pemain pamer aksi buruk, Barcelona kalah dengan Shakhtar

HAMBURG: Barcelona tewas 0-1 kepada Shakhtar Donetsk awal pagi tadi sekali gus mensia-siakan peluang untuk layak lebih awal ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Tandukan Danylo Sikan pada minit ke-40 memastikan Shakhtar meraih kemenangan bermakna ke atas juara Sepanyol itu selepas skuad bimbingan Xavi Hernandez gagal memberikan ancaman kepada kelab dari Ukraine itu.

Barcelona masih mendahului Kumpulan H di hadapan Porto di tempat kedua namun berkongsi sembilan mata selepas Porto menewaskan Antwerp 2-0.

“Kami mempamer aksi yang buruk, kami harus mengakuinya,” kata Xavi.

“Selepas dua tahun tidak layak ke pusingan 16 terakhir, hari ini kami melepaskan peluang terbaik.

“Ia adalah saat yang paling mengecewakan. Harapan tinggi diletakkan kepada kami. Saya fikir hari ini kami tidak boleh gagal tetapi akhirnya kami gagal,” katanya lagi.

Shakhtar yang terpaksa beraksi di Hamburg susulan ketegangan membabitkan Rusia dan Ukraine, mempamer aksi bertahan sejak awal permainan.

Selepas gagal melepasi peringkat kumpulan selama dua musim berturut-turut, Barcelona melihat pertembungan hari ini sebagai peluang untuk mara ketika berbaki dua perlawanan.

“Sebelum ini kami beraksi dengan sangat bagus. Ia adalah mengenai kekuatan mental,” kata Xavi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini