comscore
Tumpuan :
Sukan

Masa untuk pembalasan semula kepada Korea Selatan – Arul Selvaraj

Barisan The Speedy Tigers akan turun berhabis-habisan menentang Korea Selatan di perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh jam 8 malam Khamis ini. -Foto: Hokita/Facebook

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

IPOH: Awas Korea Selatan! Pasukan hoki kebangsaan mempunyai hutang yang mahu dilunaskan apabila berdepan Korea Selatan di perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah dua hari lagi.

Mara ke perlawanan akhir kali keenam dalam sejarah penganjuran sejak 1983, Malaysia berpeluang menamatkan penantian bergelar juara selain menebus kembali kekalahan 1-2 kepada lawan di penentuan juara Piala Asia di Jakarta Jun lalu.

“Saya mahu pasukan memulangkan semula apa yang berlaku di Piala Asia, kita tewaskan mereka di peringkat kumpulan, tetapi kecundang kepada mereka di perlawanan akhir, kini, kita kalah di peringkat awal dan kita akan turun untuk menewaskan mereka, dari cara kita bermain, kita akan tundukkan mereka, dari cara pasukan bermain, kita berjuang untuk segalanya, kita menjaringkan gol sudut penalti, kita juga menjaringkan gol padang, ya, kami mahu berikan cabaran sengit kepada mereka,” luah Arul Selvaraj mengenai pertembungan menentang Korea Selatan di perlawanan akhir.

Arul Selvaraj pastinya mahu anak buahnya memanfaatkan peluang kedua di kempen kali ini untuk mengatasi Korea Selatan, selepas dimalukan lawan 0-3 di perlawanan pembukaan 1 November lalu.

Lawan hadir dengan reputasi juara bertahan pada edisi terakhir 2019, selain bergelar juara Asia tetapi ia jelas tidak menggentarkan tuan rumah.

Semangat membara The Speedy Tigers bakal disemarakkan lagi dengan iringan ribuan penyokong di Stadium Azlan Shah di Ipoh yang sentiasa mencatatkan kehadiran memberangsangkan sepanjang lima penampilan Malaysia sebelum ini.

Perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2022:
Malaysia – Korea Selatan
Std. Azlan Shah, Ipoh
10 November 2022 (Khamis) 8 mlm

Loading...
Terkini