comscore
Tumpuan :
Sukan

MHC buka tawaran jawatan ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan

Arul ketika mengendalikan skuad hoki kebangsaan pada aksi antarabangsa.- Foto ihsan MHC

KUALA LUMPUR: Kekosongan jawatan ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan yang sebelum ini disandang oleh A Arul Selvaraj, kini sudah boleh dimohon oleh individu yang berminat.

Menurut Presiden  Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, Arul sendiri boleh memohon semula jawatan itu selepas iklan mengenainya disiarkan di media sosial badan induk itu bermula semalam dengan tarikh permohonan berakhir 16 Februari ini.

Subahan berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah akan meneliti segala permohonan sebelum menyenaraikan pendek dan mengemukakan kepada Lembaga Eksekutif untuk membuat keputusan.

“Memang semua dibenarkan (memohon), siapa pun tak kisah sama ada (calon) luar negara atau dalam negara. Mereka diberi peluang untuk mohon dan ada syarat-syarat yang perlu dpenuhi.

“Selepas 16 Februari, Datuk Manjit dan jawatankuasa beliau akan melihat semula siapakah calon jurulatih yang layak untuk dipanggil temuduga,” katanya pada sesi ramah mesra barisan kepimpinan tertinggi MHC bersama rakan media, hari ini.

Tegas Subahan, ketua jurulatih baharu skuad lelaki kebangsaan perlu dilantik secepat mungkin bagi membolehkan pasukan negara melakukan persediaan rapi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual berlangsung Mei depan.

“Pada bulan puasa saya jangkakan pasukan kebangsaan akan mula menjalani latihan, jadi saya berharap menjelang hujung bulan ini kami sudah membuat keputusan untuk melantik jurulatih baharu.

“Sama ada ia (jurulatih) lama atau baharu, saya tidak pasti. Biar Jawatankuasa Kejurulatihan memberi pandangan mereka dahulu,” katanya.

Terdahulu, Arul yang dilantik selaku ketua jurulatih skuad negara bermula Ogos 2020, gagal membimbing Speedy Tigers melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Selepas gagal meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou untuk layak automatik ke Paris, apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam, Malaysia kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman.

Namun turut kecewa apabila mengakhiri saingan di kedudukan kelima.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini