comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad hoki kebangsaan dibubar

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini, – FOTO: Ihsan MHC

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata skuad hoki kebangsaan bakal tampil wajah baharu selepas berakhir saingan liga yang akan berlangsung dari 1 Feb hingga 9 Mac depan.

Menurut beliau, untuk memberi laluan kepada pemain mewakili pasukan masing-masing menghadapi saingan liga, skuad hoki senior dan remaja lelaki kebangsaan dibubarkan buat sementara.

“Maksudnya pasukan kebangsaan lelaki dan pasukan kebangsaan remaja lelaki dibubarkan. Semua pemain akan turun bermain untuk kelab masing-masing dalam saingan MHL 2024.

“Tiada pasukan kebangsaan buat masa ini dan kita akan membina pasukan baharu selepas liga tamat. Sekarang ini kontrak jurulatih juga sudah tamat,” kata Subahan  pada sidang media di MHC, Bukit Jalil di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi berbeza buat skuad hoki wanita kerana mereka diletakkan di bawah pelan jangka panjang selama enam tahun oleh badan induk sukan hoki negara itu.

Begitupun tambah beliau,  nasib ketua jurulatih skuad senior wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim masih belum diketahui dan ia tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Kejurulatihan.

Dalam perkembangan lain, pengendali skuad senior A. Arulselvaraj akan menyerahkan laporan penuh prestasi Speedy Tigers selewat-lewatnya Ahad ini untuk penilaian Jawatankuasa Kejurulatihan MHC.

Pasukan senior kebangsaan gagal dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila  terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou susulan menamatkan saingan di tempat keenam.

Malaysia yang kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen di tempat kelima.

Manakala skuad remaja gagal mencapai sasaran untuk mara ke suku akhir pada Piala Dunia Remaja di Bukit Jalil tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini