comscore
Tumpuan :
Sukan

MOM akur Malaysia tolak tawaran CCF 

Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia menghormati keputusan kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026.

Susulan kepada keputusan Jemaah Menteri yang bersidang hari ini, (MOM) selaku Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, menerusi preidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana mempertimbangkan tawaran berkenaan.

“OCM sebagai CGA Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Malaysia, khususnya KBS atas kesudian mempertimbangkan tawaran CGF.

“Selepas mengambil kira semua aspek penganjuran termasuk implikasi kewangan, kami memahami keputusan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada keperluan rakyat,” kata Norza.

KBS dalam satu kenyataan, hari ini mengumumkan keputusan kerajaan menolak tawaran selaku tuan rumah temasya Komanwel hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Delegasi daripada CGF sebelum ini bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 5 Februari lalu.

Hasil pertemuan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu, antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah £100 juta (RM603 juta), namun ia dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.

Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah selepas Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini