comscore
Tumpuan :
Sukan

MOM, IOC eratkan hubungan bilateral

Oleh Hazreen Mubarak 

KUALA LUMPUR: Dalam usaha meningkatkan lagi pergerakan Olimpik di negara ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) komited untuk mengukuhkan hubungan bilateral dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Hasrat itu disampaikan Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kepada Presiden IOC Thomas Bach pada kunjungan rasmi pertamanya ke Rumah Olimpik di Lausanne, Switzerland semalam.

Dalam perkongsian Facebook MOM hari ini, Mohamad Norza memaklumkan inisiatif baharu MOM untuk pergerakan Olimpik seperti penganjuran Karnival Olimpik pada Jun mulai 2018 dan kerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan lain bagi meraikan Hari Olimpik yang disambut di seluruh dunia.

Mohamad Norza turut berkongsi mengenai cadangan pembinaan bangunan Olimpik baharu, yang merupakan bangunan mesra alam dan pintar dengan seni bina lestari di Kuala Lumpur.

“Ia suatu perbincangan yang bermanfaat dengan presiden IOC, ketua pengarah dan beberapa pegawai kanan untuk penambahbaikan pergerakan dan nilai-nilai Olimpik di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Bach turut kagum dengan usaha dan pendekatan dinamik Mohamad Norza serta menjanjikan sokongan sepenuhnya daripada IOC dan Solidariti Olimpik bagi membangunkan, mempromosi dan melindungi pergerakan Olimpik di Malaysia.

“Satu misi penting IOC ialah menyediakan bantuan dan sokongan kepada semua NOC kerana lebih kukuh NOC, lebih kukuh IOC dalam pergerakan Olimpik global,” kata Bach.

Loading...
Terkini