comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS beri jaminan sokong MOM

Hannah (tengah) ketika merasmikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali ke-203 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai misi yang sama dan sehubungan itu menterinya, Hannah Yeoh memberi jaminan untuk memberikan sokongan penuh kepada organisasi sukan negara berkenaan.

Hannah berkata, ini kerana kepimpinan baharu KBS dan MOM mempunyai objektif sama iaitu memperjuangkan nasib atlet kebangsaan selain memacu kecemerlangan sukan negara terutama bagi menghadapi cabaran tahun depan.

“Kita akan mengadakan kerjasama lebih lanjut dengan MOM untuk mendengar cabaran yang mereka hadapi dan bagaimana KBS boleh membantu ataupun sokongan yang boleh kita berikan,” kata Hannah kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali ke-203 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Baru-baru ini, timbalan menteri KBS, Adam Adli Abd Halim mencetuskan kenyataan kurang disenangi MOM dan persatuan sukan di bawahnya yang mendakwa arena sukan negara seharusnya bebas daripada sebarang amalan korupsi, ketidakcekapan dan ketirisan bagi mengangkatnya ke tahap lebih tinggi.

Begitupun, isu berkenaan tidak seharusnya dipanjangkan dan bagi Hannah: “Pada mesyuarat hari ini, saya memberikan hasrat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan mendengar ucapan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM) dan sebenarnya apa yang mahukan adalah sama.

“MOM dan KBS kita nak perjuangkan isu yang sama, jadi lebih baik sekarang ini kita bekerjasama dengan erat untuk kita bangunkan (sukan) bersama.”

Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali 203 hari ini sepatutya turut dihadiri Adam Adli namun Hannah berkata, timbalannya tidak dapat hadir kerana memberi tumpuan kepada bencana banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Saya meminta beliau meneliti persiapan banjir, bantuan yang kita boleh berikan sebagai wakil KBS terutama untuk golongan belia di Kelantan dan Terengganu. Pagi ini, beliau ada perbincangan juga kerana isu ini agak genting pada masa sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan Bajet 2023 untuk belia dan sukan hanya akan diketahui selepas Parlimen selesai membentangkannya di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, pembentangan bajet yang dibuat pada Oktober oleh pentadbiran lalu, memperuntukkan belanjawan RM322 juta.

“Saya tak boleh katakan semua akan dikekalkan kerana bajet itu masih di peringkat parlimen belum diluluskan,” katanya.

“Jadi mungkin akan ada peningkatan, ataupun mungkin juga pengurangan tetapi secara keseluruhan kita hendak pastikan bajet itu tidak akan banyak terjejas kerana kita tidak mahu menganggu persiapan atlet menghadapi kejohanan yang akan datang.”

Loading...
Terkini