comscore
Tumpuan :
Sukan

Muguruza umum bersara daripada sukan tenis

Reaksi pemain Sepanyol, Garbine Muguruza selepas menjuarai Terbuka Perancis pada 2016. FOTO: Reuters

MADRID: Bintang tenis Sepanyol, Garbine Muguruza mengesahkan bersara daripada sukan tenis. Muguruza membuat pengumuman itu pada satu majlis di sini semalam menjelang majlis Anugerah Laureus yang juga akan diadakan di Madrid esok.

Muguruza, 30, yang juga bekas pemain tenis nombor satu dunia pernah menjuarai Terbuka Perancis 2016 dan Wimbledon pada 2017.

“Tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Ia adalah suatu tempoh yang panjang dan kerjaya yang berjaya tetapi saya rasa masanya tepat untuk bersara,’ kata Muguruza.

Dilahirkan di Venezuela, Muguruza tidak masuk ke gelanggang sejak Januari 2023 dan pada Mac lalu dipetik sebagai berkata dia mahu melanjutkan tempoh rehatnya daripada sukan tenis.

Muguruza mula menjadi pemain profesional pada 2012 dan memenangi kejuaraan Grand Slam pertama pada 2016 apabila mengalahkan Serena Williams pada perlawanan akhir Terbuka Perancis.

Tahun berikutnya, dia berada di podium juara Wimbledon pula apabila menundukkan Venus Williams pada perlawanan akhir dan sekali gus meraih kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia.

“Saya bersara kerana mahu membuka bab baharu dalam hidup saya. Era baharu, kehidupan baharu,” kata Muguruza sambil menambah dia ingin fokus pada perkara lain.

Beliau berkata ‘bersara’ adalah perkataan ‘besar’ untuk digunakan pada usia 30 tahun tetapi bertegas bahawa dia perlu melakukan perkara lain dalam hidup ini.

Katanya, sebagai pemain tenis profesional banyak perkara yang tidak dapat dilakukannya.

“Saya mahu mendapatkan semula masa lampau saya yang telah hilang dan melakukan kerja normal. Saya merancang mahu membina sebuah keluarga, berkahwin dan memiliki seekor anjing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini