comscore
Tumpuan :
Sukan

Pan Gon panggil semula Sumareh 

Sumareh kali terakhir bersama Harimau Malaya, September tahun lalu. – FOTO: FAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohamadou Sumareh dan Mohd Afiq Fazail, antara 25 pemain yang disenaraikan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat bermula Jumaat ini.

Ia menjelang saingan Kumpulan D, pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan.

Kali terakhir Sumareh yang juga pemain naturalisasi menyarung jersi Malaysia adalah di kejohanan Piala Raja Thailand, September tahun lepas.

Manakala pemilihan Mohd Afiq dibuat selepas Pan Gon menerima pandangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan, kemampuan pemain tonggak tengah itu.

Sumareh dan Mohd Afiq antara lima pemain yang kembali tersenarai dalam skuad kebangsaan, selain penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta dua pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad dan Muhammad Syahmi Safari.

Pan Gon dilihat mahu meneruskan pendekatan taktikalnya apabila mengekalkan 20 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu, menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan, di sini.

Antara yang dikekalkan ialah ketua pasukan Dion Cools, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Faisal Abdul Halim, Brendan Gan, Dominic Tan, Darren Lok, Paulo Josue dan Junior Eldstal.

“Sementara 26 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 25 pemain. Dua pemain, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Malaysia akan beraksi menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Nov ini, sebelum bertandang ke Taipei untuk aksi kedua bertemu Taiwan pada 21 Nov, dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut, selain mara lebih jauh dalam memburu slot ke Piala Dunia.

Malaysia dalam Kumpulan D bersama, Kyrgyzstan, Taiwan dan Oman.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini