comscore
Tumpuan :
Sukan

Pan Gon teruja Harimau Malaya diundi sekumpulan dengan Korea Selatan bersama Jordan dan Bahrain, mahu buat penyokong bangga

Foto : Football Association of Malaysia / Facebook

DOHA: Selepas 17 tahun lamanya, Harimau Malaya bakal kembali menjejakkan kaki di pentas tertinggi bola sepak benua ini iaitu Piala Asia yang dijadual 12 Januari depan hingga 10 Februari di Qatar.

Lawan yang menanti negara di pusingan akhir sudahpun diketahui hari ini iaitu Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Menerusi majlis undian di Doha, pasukan kebangsaan tetap beranggapan saingan kumpulan E yang diduduki sebagai sukar.

Foto : Football Association of Malaysia / Facebook

“Undian kumpulan sangat sukar. Dua pasukan daripada rantau ini (Arab). Korea Selatan salah satu pasukan terbaik tetapi kami akan melakukan yang terbaik bersaing dengan mereka demi memberikan rasa bangga kepada rakyat Malaysia,” kata jurulatih Kim Pan Gon selepas undian menerusi perkongsian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau yang mengikuti secara dekat proses itu berlangsung akan berhadapan kembali dengan pasukan kebangsaan negara kelahirannya.

Ironinya, Pan Gon disunting FAM daripada badan induk bola sepak Korea Selatan, semasa memegang peranan penting di jawatankuasa pasukan kebangsaan Taegeuk Warriors.

Selain juara edisi 1956 dan 1960 itu, turut menanti Malaysia ialah negara yang mempunyai reputasi selaku semi finalis 2004, Bahrain.

Malah Jordan juga tidak kurang hebatnya, menerusi penampilan kelima kali ini sejak 2004.

Perlawanan sulung Harimau Malaya dijadual 16 Januari menentang Jordan di venue yang akan ditetapkan kemudian.

Tiga hari berikutnya ialah Bahrain, sebelum melengkapkan saingan kumpulan berdepan Korea Selatan.

Enam juara dan naib juara kumpulan akan mengisi 12 slot ditetapkan ke pusingan kedua, ditambah empat lagi slot kepada pasukan tangga ketiga terbaik.

Loading...
Terkini