comscore
Tumpuan :
Sukan

Pearly, Thinaah juara di hati penyokong

Oleh : Saiyed Ismail Saiyed Hussien

BUKIT JALIL: Ribuan penyokong tetap bersorak bangga memberikan sokongan kepada Pearly Tan/ M. Thinaah sebaik berakhirnya aksi penentuan juara Masters Malaysia dengan Baek Ha Na/ Lee So Hee dari Korea Selatan sebentar tadi.

Pemain negara itu sudah memberikan segala-galanya namun hanya nasib sahaja yang tidak memisahkan mereka daripada gelaran juara beregu wanita selepas dikecewakan menerusi rubbet set.

Pearly/ Thinaah membuktikan mereka benar-benar inginkan kejuaraan selepas bangkit daripada kekalahan 20-22 set pertama dengan merakam keputusan 21-8 di permainan berikutnya.

Namun drama sebenar dan mencemaskan menghiasi permainan ketiga apabila Ha Na/ So Hee yang mendahului 17-11 sedikit demi sedikit dikejar pemain negara.

Aksi rally panjang ternyata menguji stamina dan ketahanan mereka sehinggalah Thinaah tiba-tiba kelihatan semput menuju penghujung memaksa pegawai perubatan tampil membuat pemeriksaan.

Sebaik bersambung semula, pemain ranking ke-11 dunia itu tidak mampu menghalang mata kemenangan ke-21 memihak lawan yang menamatkan pertarungan keseluruhan selama sejam 41 minit itu 21-17.

Ia gelaran naib juara sulung mereka di Jelajah Dunia BWF bergred Super 500, selepas menaiki podium juara Terbuka Switzerland 2021 dan juga juara Terbuka Perancis 2022.

Selaku juara Ha Na-So Hee membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$33,180 (RM152,661) manakala Pearly-Thinaah meraih AS$15,960 (RM73,431) selaku naib juara.

Pearly-Thinaah berpeluang menebus kekecewaan kali ini apabila beraksi di Terbuka Singapura, minggu depan dengan mereka akan membuka tirai saingan menentang beregu Jepun, Rin Inagawa-Kie Nakanishi di pusingan pertama.

Loading...
Terkini