comscore
Tumpuan :
Sukan

Penang, Terengganu akur seri 0-0 selepas dua gol terbatal

Pemain Penang, Mohammad Fairuz Zakaria (kiri) diasak pemain Terengganu, Akhyar Abdul Rashid pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di George Town malam ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Hasrat Penang untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertamanya di laman sendiri tidak kesampaian apabila sekadar seri 0-0 menentang Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di George Town malam ini.

Tuan rumah dilihat mengawal permainan pada babak pertama perlawanan menerusi beberapa percubaan membolosi pintu gawang pasukan lawan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Terengganu hampir mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-38 apabila pemain tengah Manual Gelito Ott berjaya merembat masuk gol namun dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

Bersambung di babak kedua, Penang terus menggandakan serangan dan hampir berjaya di depan tetapi jaringan Mohammad Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-68 pula dibatalkan pengadil selepas semakan dibuat menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Keputusan kekal seri tanpa jaringan hingga tamat wisel perlawanan sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan sekadar mengutip satu mata.

Aksi perlawanan Liga Super di antara pasukan Kuching City dan Sri Pahang di Stadium Sarawak, Petra Jaya, Kuching. – FOTO: NSTP

Di Kuching, tuan rumah Kuching City gagal mengutip mata penuh pertama musim ini apabila seri 2-2 dengan Sri Pahang di Stadium Negeri.

Kuching City pertama di depan apabila Tchetche Kipre memanfaatkan peluang menerusi situasi kelam-kabut dalam kotak penalti pada minit ke-18.

Sebelum tamat separuh masa pertama, bekas penyerang Terengganu, Jordan Mintah tenang menanduk bola hantaran lintang untuk Kuching City selesa berada 2-0 di depan.

Memasuki babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah gagal mengekalkan kelebihan apabila Sri Pahang merapatkan jurang selepas Adam Nor Azlin meledak jaringan pada minit ke-63.

Sri Pahang mula lega apabila Manuel Federico Hidalgo Gasparini mencetak gol penyamaan pada minit ke-76 dan keputusan kekal hingga tamat permainan.

Keputusan kedua perlawanan malam ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga keempat dengan empat mata di belakang Sabah dan Terengganu apabila kedua-duanya turut mengumpul empat mata dan hanya terpisah dengan kelebihan jaringan.

Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas dengan enam mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini