comscore
Tumpuan :
Sukan

Penyokong JDT langgar peraturan lagi, bakar suar di SSI

Penyokong Harimau Selatan bertindak membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim semalam meraikan kemenangan 2-0 menewaskan NSFC. – Foto : Flash Sukan

ISKANDAR PUTERI: Suasana tidak menyenangkan sekali lagi disajikan di Stadium Sultan Ibrahim semalam, dalam perlawanan Liga Super membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan (NSFC).

Ini berikutan tindakan kumpulan penyokong Harimau Selatan membakar suar selepas perlawanan yang berterusan melanggar peraturan larangan membawa masuk barang terlarang ke dalam stadium.

Insiden tidak bertanggungjawab itu berlaku hanya dua hari selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan JDT dikenakan hukuman denda 120 ribu ringgit terhadap tiga kesalahan sama.

Menerusi rakaman dan foto yang dilapor, kumpulan penyokong tuan rumah di bahagian belakang gol bertindak menyalakan suar selepas anak buah Esteban Solari itu menewaskan lawan 2-0.

Ia mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan di stadium tersebut, bagaimana perkara itu boleh berlaku, sedangkan suar merupakan barang terlarang yang terkandung dalam Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM.

Malah venue tersebut juga diwar-warkan memiliki kawalan keselamatan ketat ditambah marsyal bertugas mengawasi keadaan.

Yang pasti, nyalaan suar dibimbangi menjejaskan kesihatan penyokong yang berkumpul dalam keadaan sesak dan berasap.

Kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku, apatah lagi FAM baharu sahaja menjelaskan JDT telah dikenakan denda berjumlah 120 ribu ringgit pada Khamis lalu bagi tiga kesalahan sama yang berlaku pada bulan Mac dan April.

Tidak mustahil hukuman lebih keras menanti pasukan, sebagai pengajaran serta mahukan ia dihentikan.

Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja tidak menghormati peraturan malah seolah-olah tidak serik dengan kesalahan yang dilakukan.

Loading...
Terkini