comscore
Tumpuan :
Sukan

Pestabola Merdeka tahun ini tetap dianjurkan

Aksi Tajikistan pada saingan Piala Asia di Doha selepas menjuarai Pestabola Merdeka 2023 tewaskan Harimau Malaya 2-0. – FOTO: Ihsan AFC

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan status penganjuran Pestabola Merdeka tahun ini akan dipertimbangkan selepas skuad kebangsaan menamatkan baki Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Jun ini.

Bagaimanapun, Firdaus mengesahkan saingan itu tidak akan dibatalkan memandangkan penganjurannya merancakkan lagi saingan bola sepak tempatan selain menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak.

“Saya sudah mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan kemungkinan Pestabola Merdeka diadakan bergantung kepada keputusan skuad Harimau Malaya dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Jadual skuad Harimau Malaya pada tahun ini cukup padat kerana turut akan mengharungi kejohanan Piala AFF menyebabkan kita kena melihat kembali penganjuran Pestabola Merdeka,” katanya.

Sebagai rekod, sekiranya skuad bimbingan Kim Pan Gon berjaya menamatkan pusingan kedua kelayakan sebagai dua pasukan terbaik kumpulan, mereka akan mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan slot automatik ke Piala Asia 2027.

Enam perlawanan bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 akan berlangsung bermula September sehingga November manakala baki empat lagi perlawanan akan diadakan bermula Mac hingga Jun 2025.

Jika skuad negara gagal meneruskan perjuangan ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, mereka akan berentap pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dijadual bermula pada Mac 2025.

Saingan Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan Tajikistan yang membuat penampilan pertama berjaya meraih gelaran juara apabila menewaskan Harimau Malaya 2-0.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini