comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Asia: Afif bawa juara bertahan ke suku akhir

Pemain Qatar meraikan kemaraan ke suku akhir di Stadium Al-Bayt awal pagi tadi. -Foto: Reuters

AL-KHOR, Qatar: Juara bertahan Piala Asia, Qatar terpaksa berhempas pulas menewaskan Palestin 2-1 untuk mara ke peringkat suku akhir di Stadium Al-Bayt awal pagi tadi.

Palestin yang melakukan debut untuk peringkat kalah mati, mendapat pengiktirafan apabila penonton bertafakur sempena memperingati mangsa perang negara itu dengan Israel.

Walaupun tuan rumah bermain di hadapan 64,000 penyokong, namun bermula wisel permulaan, Palestin tampak mendominasi perlawanan.

Pada minit ke-37, penyerang Palestin, Oday Dabbagh membuat larian solo dan berjaya menyumbat bola melepasi penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham untuk jaringan ketiganya di kejohanan ini.

Pengendali Qatar, Marquez Lopez melabelkan perlawanan sebagai penuh emosi, apabila penyokong kedua-dua pasukan kerap mempamerkan sokongan terhadap Palestin atas apa yang terjadi di bumi mereka.

“Inilah bola sepak, anda merancang sesuatu dan ia tidak selalu terjadi seperti yang dirancang. Pemain Palestin bermain sangat baik, dan mereka sangat berani.” katanya.

Namun, sebelum tamat babak pertama, ketua pasukan Qatar, Hassan Al-Haydos berjaya menyamakan kedudukan apabila menyudahkan sepakan sudut Akram Afif.

Gol kemenangan tuan rumah diperolehi seawal babak kedua dimulakan. Almoez Ali dijatuhkan Mohammed Saleh, dan sepakan yang diambil Afif terus menerjah jaring, gol keempatnya pada kejohanan ini.

Palestin memiliki beberapa peluang namun ketumpulan barisan serangan mengekalkan keputusan hingga wisel penamat.

“Saya berbangga dengan pemain saya. Mereka mempunyai cita-cita tinggi dan berbangga untuk mewakili rakyat Palestin”, kata pengendali Palestin, Makram Daboub.

“Pemain memberikan segalanya yang mereka ada disebalik kesukaran yang mereka hadapi. Saya tidak boleh meminta lebih daripada apa yang mereka beri.

Qatar akan menanti pemenang antara Uzbekistan dan Thailand di suku akhir nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini