comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia Sepak Takraw 2024: Regu berpasukan Malaysia mara ke final

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara semakin hampir memenangi gelaran hatrik pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila mara ke pentas final acara regu berpasukan selepas menewaskan Indonesia 2-0 di Stadium Titiwangsa, di sini sebentar tadi.

Berbekalkan sorakan padu lebih 2,000 penyokong tempatan, skuad negara meraih mata pertama menerusi Amirul Zazwan Amir, Haziq Hairul Nizam dan Noraizat Mohd Nordin yang menewaskan trio utama lawan, Hendra Pago, Abdul Halim Radjiu dan Jelki Ladada 15-12, 15-9.

Hasrat Indonesia untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian.

Berikutnya giliran Farhan Adam, Syahir Rosdi dan Azlan Alias menyumbangkan mata kedua yang juga mata kemenangan negara selepas menumpaskan regu kedua lawan dengan keputusan 15-8, 15-7.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun menempah pertemuan menentang juara bertahan, Thailand di pentas final, petang esok.

Thailand mara selepas menumbangkan Korea Selatan juga dengan keputusan 2-0.

Terdahulu, Malaysia berjaya meraih kejuaraan berganda dalam acara double dan regu selepas menundukkan Thailand.

Aksi Malaysia dan Thailand esok ibarat ulangan final di Piala Dunia 2011 dan 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini