comscore
Tumpuan :
Sukan

Prestasi semasa TFC membimbangkan

FOTO: Ghazali Kori/NSTP

KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi Terengganu FC (TFC)?

Itu persoalan mengenai prestasi semasa TFC selepas gagal meraih sebarang kemenangan dan hanya mengumpul satu mata dalam tiga perlawanan awal Liga Super musim ini.

Lebih perit, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kini menghuni tangga tercorot liga walaupun pada awalnya skuad Penyu diletakkan sebagai antara pasukan yang mampu mencabar kejuaraan musim ini.

Ia rentetan keputusan tidak memihak mereka termasuk tewas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman selain hanya terikat tanpa jaringan berdepan KL City FC di laman sendiri, kelmarin.

Keputusan ketika berdepan KL City mungkin lebih menyakitkan buat penyokong TFC atas kegagalan skuad itu gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri buat kali pertama musim ini.

Bukan sahaja masih kemarau kemenangan, malah keputusan itu turut menyaksikan skuad Penyu gagal mencetak sebarang jaringan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Malah, muncul juga dakwaan penghijrahan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan beberapa tonggak seperti Faisal Halim dan Manny Ott ke pasukan lain musim ini menjadi antara elemen yang menyebabkan skuad Penyu bergelut untuk mempamerkan persembahan yang diharapkan pada awal musim ini.

Meskipun boleh dianggap sebagai pasukan yang berdepan tugas sukar dalam tiga perlawanan awal apabila menentang tiga pasukan ‘besar’, namun ia tidak boleh dijadikan alasan kuat untuk TFC tidak mampu meraih keputusan lebih positif.

Apa yang pasti, pengurusan kelab dan penyokong wajar berasa bimbang dengan prestasi semasa pasukan mereka apatah lagi skuad Penyu akan bersaing dalam Piala AFC musim ini bersama Sabah.

Justeru, segala kelemahan harus diperbaiki segera dalam memastikan TFC tidak terjerumus dalam masalah lebih besar kerana mereka memasuki era baharu Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan reputasi besar sebagai naib juara Liga Super dan Piala FA musim lalu.

Tugas berat ketika ini perlu dipikul Steinbruckner untuk mencari ramuan terbaik bagi skuad Penyu tampil dengan prestasi lebih cemerlang seperti apa yang dilakar mereka sepanjang berada di bawah Nafuzi sebelum ini dan memikat semula kepercayaan penyokong mereka. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini