comscore
Tumpuan :
Sukan

RAGBI: Putrajaya jumpa PDRM, bawa misi pertahankan kejuaraan

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

IPOH: Putrajaya menepati ramalan, mara ke perlawanan akhir Ragbi Piala Agong 2023 selepas menumpaskan Kuala Lumpur dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Ragbi Perak, di Ipoh.

Usaha keras yang dilakukan Kuala Lumpur untuk menyekat Putrajaya tidak menjadi selepas terpaksa akur dengan kekalahan 15-25, sekaligus misi Putrajaya untuk mempertahankan kejuaraan berada dalam landasan tepat.

Aksi yang berlangsung jam 4 petang itu tadi bermula dengan baik buat Kuala Lumpur yang membuka saingan dengan 3 mata penalti menerusi Muhd Muqri Dini Mohd Azizi.

Namun, kembali dibalas Putrajaya yang berjaya mendapatkan dua try berturut-turut, bermula dengan percubaan Muhd Hakim Abu Hasan pada minit ke 18, sebelum Jaoji Tuni Koroimataitini menambah try kedua 4 minit berselang.

 

Sekaligus menutup babak pertama dengan kedudukan 14-3 memihak Putrajaya.

Bersambung selepas rehat, giliran Kuala Lumpur bangkit menerusi try Muhd Nur Faisol Arshad pada minit ke 56.

Bagaimanapun kembali dibalas dengan try Pio Tuwai 3 minit berselang untuk penguasaan terus kekal memihak Putrajaya.

Try Peni Vikuviku pada minit ke 64 kembali menghidupkan peluang Kuala Lumpur untuk bangkit mengejar Putrajaya.

Namun, dua penalti sempurna yang dilakukan Nadamu Damasino Nolevu dalam tempoh 5 minit memberikan kelebihan kepada Putrajaya.

Putrajaya menutup aksi dengan kemenangan 25-15, sekaligus berada dalam landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan selepas mengesahkan tempat ke perlawanan akhir.

Final Piala Agong dijadualkan berlangsung Sabtu ini di lokasi sama, Stadium Ragbi Perak bakal mempertemukan dua pasukan, Putrajaya yang turun dengan misi mempertahankan kejuaraan menentang juara sulung Piala Agong, PDRM.

Loading...
Terkini