comscore
Tumpuan :
Sukan

Ronaldo tak gembira diletakkan di bangku simpanan – Santos

FOTO: REUTERS

DOHA: Jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui Cristiano Ronaldo tidak gembira apabila diletakkan di bangku simpanan dan merayu supaya kontroversi berhubung perkara itu segera ditamatkan.

Penyerang veteran itu buat kali pertama sejak Piala Dunia 2006 hanya masuk sebagai pemain gantian ketika aksi pusingan 16 terbaik menentang Switzerland yang menyaksikan Portugal melakar kemenangan 6-1.

Akhbar Portugal melaporkan Ronaldo mengugut untuk meninggalkan pasukan selepas dia diberitahu tidak berada dalam senarai kesebelasan utama.

Bagaimanapun, Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) menafikan laporan itu dan Ronaldo sendiri menerusi media sosial miliknya menyatakan bahawa pasukan berkenaan terlalu sukar untuk digugat oleh orang luar.

Bercakap kepada media menjelang aksi suku akhir menentang Maghribi, hari ini, Santos memaklumkan dia ada bercakap dengan Ronaldo pada hari perlawanan bertemu Switzerland.

“Saya menjemput dia ke pejabat saya dan beritahu kepadanya ‘anda tidak akan berada dalam kesebelasan utama’, jadi ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Saya beritahu, dia cukup penting dari segi strategi, saya beritahu ‘adalah lebih baik anda tidak bermain’. Saya simpan dia untuk separuh masa kedua,” kata Santos.

Mengulas lanjut, Santos berkata, pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu tidak pernah mengugut untuk meninggalkan pasukan biarpun kecewa apabila digugurkan.

“Cristiano atas beberapa sebab tidak gembira dengan perkara itu. Dia sentiasa dalam kesebelasan utama kecuali satu atau dua perlawanan di bangku simpanan. Sudah tentu dia tidak gembira.

“Dia beritahu saya ‘adakah anda fikir ia idea yang baik? Namun, kami berbicara seperti biasa yang mana saya menjelaskan keputusan saya itu dan dia menerimanya. Dia tidak pernah beritahu dia mahu meninggalkan pasukan,” katanya. – AFP

Loading...
Terkini