comscore
Tumpuan :
Sukan

“Saya harap insiden yang berlaku kepada saya, Faisal tidak berulang” – Akhyar

Pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukannya di Pusat Latihan TFC, Gong Badak – Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid meletakkan harapan tinggi agar insiden yang menimpa dirinya serta Faisal Halim adalah yang terakhir.

Jelas pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia tidak sanggup lagi melihat pemain lain menerima nasib yang sama sepertinya dan juga pemain Selangor FC itu.

“Apa yang saya harapkan insiden yang tidak diingini berlaku kepada saya dan Faisal tidak lagi berulang kepada pemain lain di seluruh negara.

“Harap ini yang terakhir bagi memastikan pemain dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Pada masa sama saya juga mahu melupakan kejadian itu walaupun tidak nafikan perasaan trauma itu sedikit sebanyak masih lagi ada,” katanya.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Kedah itu mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya yang tidak putus-putus menitipkan doa buatnya termasuk solat hajat di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 11 Mei lalu.

“Terima kasih kepada semua peminat kerana terus mendoakan kesembuhan saya, sekarang tahap kesihatan saya semakin baik, harap dapat beraksi menentang Penang FC dalam perlawanan kedua nanti.

“Pada masa sama saya turut mengharapkan peminat dapat memberikan sokongan padu dan kata-kata semangat kepada kami,” ujar pemain skuad Harimau Malaya itu.

Terdahulu pada 2 Mei lalu, Akhyar menjadi mangsa pukul dan samun dekat bandar Kuala Terengganu sehingga menyebabkan dia menerima empat jahitan di kepala dan dua di kaki serta kerugian hampir RM5,000.

Selang dua hari selepas itu, Faisal pula menjadi mangsa simbahan asid di ibu negara sehingga menyebabkan kecederaan parah dan terpaksa menjalani tiga kali pembedahan.

Loading...
Terkini