comscore
Tumpuan :
Sukan

Skuad basikal tetap bersemangat tanpa ‘The Pocket Rocketman’

Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh sambut ketibaan skuad basikal negara di Hangzhou. – Foto Instagram/Hannah Yeoh

HANGZHOU: Kehadiran skuad basikal negara tetap diiringi keyakinan tinggi meskipun tanpa kelibat Datuk Azizulhasni Awang.

Itulah yang ditampilkan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan ‘The Rocket Pocketman’ yang terpaksa melupakan cabaran Sukan Asia Hangzhou akibat kecederaan.

Detik ini jugalah  untuk pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu keluar dari bayang-bayang Azizulhasni.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau melihat keyakinan yang tinggi dalam diri pelumba itu.Malah Shah pastinya mendapat tonik tambahan selepas dipilih menjadi wakil atlet sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan temasya malam ini.

“Shah bercakap kepada saya bahawa dia bersedia untuk gantikan Azizulhasni dalam acara keirin dan yakin untuk beri persaingan hebat kepada siapa saja.”Dia mahu menyinar demi negara, saya suka melihat semangat dia itu dan bagi saya dia kini mempunyai sikap seperti Azizulhasni,” kata Norza.

Norza juga optimis barisan pelumba negara kini di  tahap kesiapsiagaan yang tinggi biarpun tanpa cetusan semangat Azizulhasni.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.

Sepanjang penampilan di Sukan Asia, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sudah mengumpul dua pingat emas menerusi kejayaan pada 2010 di Guangzhou dalam acara keirin dan pecut di Jakarta-Palembang 2018

Acara berbasikal trek di Hangzhou akan berlangsung selama empat hari bermula 26 September di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou.

Skuad basikal yang selamat tiba di Hangzhou disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Loading...
Terkini