comscore
Tumpuan :
Sukan

Solari akui JDT ada kesilapan, Steinbruckner kecewa bahagian tengah TFC

FOTO : JOHOR SOUTHERN TIGERS

JOHOR BAHRU: “Bukan mudah untuk melakar kemenangan ini kerana Terengganu FC mempunyai barisan pemain yang bagus.”

Itu pandangan pengendali baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari yang tetap menghormati pasukan lawan sekalipun pasukan bimbingannya berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut sejak 2018.

“Ada beberapa kesilapan yang kami lakukan apabila sering memberi sepakan percuma kepada pasukan lawan pada babak pertama tapi memasuki babak kedua permainan kami tampil dengan permainan berbeza malah kerap menguasai perlawanan dan meningkatkan lagi intensiti permainan.

“Bukan mudah untuk mendominasi permainan tatkala menentang pasukan TFC yang kita tahu tidak mudah ditewaskan dan kombinasi pemain saya di posisi tengah juga begitu tersusun dengan umpanan bola pendek untuk menyusun strategi,” jelas Solari yang pernah mengendalikan skuad Bawah 23 tahun Argentina.

Sementara itu pengendali baharu TFC, Tomeslav Steinbruckner mendedahkan punca kegagalan TFC, malam tadi.

“Masalah paling ketara apabila pemain tengah tidak berfungsi dengan baik dan ketiadaan pemain berpengalaman iaitu Habib (Haroon) dan juga tanpa Liridon (Krasniqi), barisan tengah bagaikan hilang tempo permainan yang jelas dikuasai sepenuhnya oleh pemain JDT.

“Agak mengecewakan apabila Sonny Norde, Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn tidak beraksi dengan baik apabila tidak mampu beri tekanan terhadap benteng JDT yang kerap mematahkan gerakan mereka,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pemain baharu JDT, Juan Muniz mencipta gol seawal minit kelima sebelum Bergson Da Silva menggandakan gol pada minit ke-57 untuk menghadiahkan trofi Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.

Kejayaan menundukkan TFC dalam masa sebenar permainan itu turut memberikan tiga mata penuh buat JDT pada aksi pembuka tirai Liga Super musim ini.

Loading...
Terkini