comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT bawa bekalan selesa berdepan NSFC

 

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) tiada halangan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia selepas perlawanan suku akhir kedua berdepan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Ia selepas kelebihan besar yang dimiliki Harimau Selatan ketika ini hasil kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 13 September lalu.

Keadaan itu turut menyaksikan amat sukar untuk Negeri Sembilan bangkit mencipta kejutan berdasarkan reputasi besar dimiliki JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selain terpaksa bertarung di gelanggang keramat Harimau Selatan.

JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia juga dijangka tampil dengan aksi lebih garang dan mungkin mahu menjadikan Negeri Sembilan sebagai sasaran atau tempat mereka melepaskan geram.

Ia kerana skuad kendalian Esteban Solari itu baru sahaja dikecewakan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi sulung Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tempat sendiri, Selasa lalu.

JDT juga dijangka mendapat semula sentuhan daripada penyerang berbisa mereka Fernando Forestieri yang dilihat sudah pulih daripada masalah kecederaan.

Situasi itu menambahkan lagi kesukaran buat Negeri Sembilan yang pasti tetap menaruh harapan untuk melakar keputusan positif meskipun sedar bahawa peluang untuk mereka merebut tiket ke separuh akhir boleh dikatakan sudah hampir tertutup rapat.

Apa yang bermain di fikiran skuad Hobin Jang Hobin ketika ini mungkin mereka mahu mengelak daripada terus mengalami kekalahan besar kepada JDT yang sedang berusaha menambah koleksi jaringan mereka selepas sudah mengumpul 114 gol keseluruhan dalam semua pertandingan domestik musim ini.

Segala-galanya terpulang kepada kebijaksanaan ketua jurulatih, K Devan untuk merencana percaturan terbaik buat Negeri Sembilan kerana jika hanya bermain secara bertahan, ia tampak tidak sesuai kerana mereka memerlukan jaringan besar bagi memadam kelebihan tiga gol dimiliki JDT.

Piala Malaysia

Suku akhir kedua
Sabtu
JDT (3) mln NSFC (0), 9mlm
Ahad
Pahang (0) mln KL City (1), 5.30 ptg
Selangor (0) mln TFC (2), 9 mlm
Isnin
Perak (2) mln Sabah (2), 9 mlm
* Keputusan pusingan pertama dalam kurungan

Loading...
Terkini