comscore
Tumpuan :
Sukan

Sri Pahang kekal rekod tanpa kalah

FOTO: MFL

Kuantan: Sri Pahang FC mengutip mata penuh selepas menewaskan Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Jaringan tunggal penyerang import, Kpah Sherman pada babak kedua amat bermakna buat Sri Pahang untuk meletakkan skuad itu pada kedudukan terbaik.

Peluang terbaik skuad Tok Gajah hadir daripada Fadhli Shas tetapi tandukan pemain pertahanan itu diselamatkan penjaga Penang, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri pada minit ke-10.

Penang turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain import, Giavane Gomes tetapi penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin menafikannya pada minit ke-25.

Selepas itu, bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah dan hanya beberapa percubaan dilakukan tetapi kedua-dua pasukan akur terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Sri Pahang tidak menunggu lama apabila Sherman menjaringkan gol pendahuluan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-46.

Penalti itu diberikan pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir kepada Sri Pahang selepas Sherman dijatuhkan pemain pertahanan dalam kotak penalti.

Penang berusaha untuk menjaringkan gol penyamaan tetapi akur pulang tanpa sebarang mata di tempat lawan.

Sri Pahang kekal berada di tangga kedua dengan 25 mata, manakala Penang di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 14 mata.

Loading...
Terkini