comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN: HOKI – ‘Oppa K-Pop’ hadiahkan kejuaraan ‘treble’ kepada THT

Foto: Jang Jong Hyun meraikan jaringan kemenangan THT

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Kelab Hoki Terengganu, THT berjaya mengulangi pencapaian pasukan UniKL apabila mencipta kejuaraan ‘treble’ pada kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Perlawanan akhir Piala TNB menentang seteru utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyaksikan THT berjaya memenangi perlawanan menerusi kemenangan 2-1.

“Kita berjuang sehingga akhir, apa-apa jadi bila kita dibolosi, kita banyak peluang namun peluang itu kita persiakan, masa separuh masa pertama, sepatutnya boleh jadi 2-0, 3-0 tapi banyak peluang terlepas.

“Sangat dramatik, bagus penonton jadi macam ni, bila dah mendahului, kita akan bertahan tak boleh nak lepaskan gol baki 4 minit, semua pemain ambil masa.

“Satu sejarah untuk Terengganu, ini titik peluh pengurusan dan menteri besar yang sentiasa percaya setelah 10 tahun ditubuhkan akhirnya ‘treble’,” kata kapten THT, Muhd Fitri Saari.

THT turun dengan reputasi tinggi selaku juara Liga Hoki Malaysia (MHL) dan juga juara Piala Sumbangsih.

Namun, penampilan bertenaga TNB ketika menyingkirkan Maybank di peringkat separuh akhir terbukti bukanlah nasib, sebaliknya skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin ini yang tidak menyenaraikan pemain import tetap memiliki kelebihan tersendiri.

Saling berbalas sejak dari awal, THT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke 20 selepas Faizal Saari menjaringkan gol padang.

Tidak panik dengan gol itu, TNB kembali mengatur gerakan untuk kembali mengikat kedudukan dan ianya berhasil pada minit ke 43 selepas ‘set piece’ pukulan sudut penalti menyaksikan Muhd Azrai Aizad Abu Kamal berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Foto: Fitri memberi penghormatan kepada abangnya, Faizal Saari untuk menjulang trofi kejuaraan Piala TNB.

TNB berpeluang menambah jaringan pada baki 10 minit terakhir, namun pukulan sudut penalti ulangan yang diberikan sehingga enam kali gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Sebaliknya, THT berjaya menggandakan jaringan pada minit ke 52.

Kepakaran import Korea Selatan, Jang Jong Hyun ditagih THT sebelum dia muncul wira, meledak gol kemenangan buat pasukan kendalian Seo Jongho itu.

Walaupun TNB cuba mengasak, termasuk menggunakan taktikal ‘power play’, segalanya serba tidak menjadi dan THT akhirnya mengesahkan gelaran juara Piala TNB menjadi milik mereka.

Sekaligus turut melengkapkka kejuaraan ‘treble’ selepas turut mengungguli saingan Liga Hoki Malaysia dan Piala Sumbangsih, menyamai pencapaian yang pernah dicipta UniKL pada musim 2020.

Loading...
Terkini