comscore
Tumpuan :
Nasional

UniKL kekalkan rekod kadar kebolehpasaran tinggi graduan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Majlis Konvokesyen ke-19 UniKL, hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terus mengekalkan kadar kebolehpasaran graduannya yang tinggi sebanyak 91.4% mengikut kajian keboleh pasaran graduan fasa pertama yang berakhir November 2022.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pro Canselor UniKL berkata, peratusan itu dijangka terus meningkat sehingga 96% menjelang penilaian fasa akhir kelak.

“Saya yakin graduan tahun 2022 mampu untuk menandingi kadar kebolehpasaran yang dicatat oleh graduan tahun 2020 dan 2021 iaitu 96.1% dan 97.1% apabila kaji selidik ini selesai kelak.

“Malahan, terdapat 280 orang graduan tempatan dan alumni UniKL dari kumpulan yang bergraduan sepanjang tahun 2016 hingga 2021 yang sedang bekerja di 24 buah negara.

“Dan ini membuktikan program yang ditawarkan oleh UniKL ini diiktiraf oleh dunia dan menyumbang kepada usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi daripada pendidikan TVET”, ucapnya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-19 UniKL, pagi ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya itu akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar terutamanya kaum bumiputera.

Jelasnya, kementerian itu juga akan terus berusaha untuk memastikan tidak ada lagi berlaku keciciran di kalangan lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita perlu pastikan no one is left behind.

“Saya mahu melihat pelajar institusi pendidikan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran daripada peringkat sijil sehinggalah PhD,” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, KKDW juga beruntung menjadi satu-satunya kementerian yang mempunyai 3 universiti dibawah kelolaan kementerian itu selain Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

3 universiti berkenaan merupakan UniKL, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).

Loading...
Terkini