comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA : Indonesia rampas ibu segala emas dari tangan Thailand dalam pertarungan emas paling panas

– FOTO : REUTERS

PHNOM PENH: Penentuan juara bola sepak lelaki Sukan SEA kali ini bolehlah dikatakan antara yang terburuk selepas ia dicemari dengan aksi pergelutan dan insiden-insiden liar.

Begitulah yang terjadi semasa perlawanan akhir bola sepak lelaki di Stadium Olimpik Nasional yang menemukan Thailand dan Indonesia apabila pemain dan pegawai pasukan turut berbalas sepakan dan tumbukan ketika bergaduh.

Perlawanan berkesudahan dengan Indonesia menang 5-2 untuk merampas ibu segala emas di edisi ke-32 kali ini berlanjutan hingga masa tambahan selepas permainan 90 minit terikat 2-2.

– FOTO : REUTERS

Namun perlawanan yang dikendalikan pengadil Oman iaitu Matar Ali Al-Hatmi Qasim itu diiringi dengan insiden pergaduhan, provokasi serta layangan sebanyak empat kad merah dan sembilan kad kuning membabitkan kedua-dua pasukan.

Tiga daripadanya diberikan kepada pasukan Gajah Perang, manakala satu lagi kepada Indonesia.

Memburukkan lagi keadaan ialah kelakuan provokasi diantara kedua-duanya di tepi padang sehingga mengundang tindakan tidak sepatutnya dari barisan pegawai dan pemain dua kali di penghujung permainan.

Pergelutan yang berlaku itu semestinya memalukan temasya serantau lebih-lebih lagi arena bola sepak Asean.

Indonesia mendahului 2-0 diseparuh masa pertama hasil penyudah Muhammad Ramadhan Sananta.

Namun Thailand mengheret perlawanan ke masa tambahan menerusi Anan Yodsangwal dan Yotsakon Burapha.

– FOTO : REUTERS

Irfan Jauhari, Muhammad Fajar Fathur Rachman dan Pratama Arhan Alif Rifai kemudian menyumbat tiga lagi gol dalam masa tambahan memastikan kejayaan memihak anak buah Indra Syafri itu, dikala Thailand kehilangan seorang demi seorang pemain sebanyak tiga kali di baki 30 minit terakhir.

Kekalahan barisan Ithsara Sritharo itu menyebabkan mereka membawa pulang pingat perak kali kedua berturut-turut dan keenam sejak 1959.

Indonesia pula menamatkan kemarau 33 tahun tidak memenangi emas selepas empat kali mencubanya di perlawanan akhir 1997, 2011, 2013 dan 2019.

Loading...
Terkini