comscore
Tumpuan :
Sukan

SUKAN SEA: Skuad renang bergelut di pusat akuatik, hanya satu gangsa

Perenang negara bergelut untuk memberikan saingan terhadap atlet Singapura, Indonesia, Filipina dan Indonesia dalam acara renang. – FOTO: AFP

PHNOM PENH: Kem renang negara terus ‘sendu’ apabila membawa pulang satu pingat gangsa pada hari kedua sukan akuatik dipertandingkan di Pusat Akuatik Nasional, Kompleks Sukan Morodok Techno sebentar tadi.

Dibarisi perenang muda, wakil negara dilihat bergelut untuk bersaing dengan perenang lain terutamanya dari Singapura, Indonesia, Filipina dan Indonesia.

Pingat gangsa milik negara hadir menerusi acara 4X200 meter (m) gaya bebas lelaki dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Singh, Tan Khai Xin dan Lim Yin Chuen menerusi catatan masa 7 minit 21.55 saat(s).

Malaysia yang pada satu ketika berada di hadapan terpaksa akur kehebatan perenang Vietnam selepas melakukan pecutan terakhir untuk memotong dua pesaing lain sekali gus membawa pulang emas dengan catatan masa 7 minit 18s manakala perak pula milik Singapura (7:21s).

Hoe Yean berkata, pingat gangsa itu boleh dikatakan mengubati kedukaan kem renang negara pulang dengan tangan kosong pada hari kedua sukan terbabit dipertandingkan.

“Aksi yang baik pada hari ini kerana kami baru saja digandingkan dalam acara 4×200 m. Masa yang dicatatkan itu juga memuaskan sekali gus mampu mencipta keputusan positif pada penampilan akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada aksi final 50m kuak lentang individu lelaki menyaksikan Arvin berada di kedudukan terakhir manakala Bryan Leong Xin Ren yang diletakkan harapan untuk merangkul pingat dalam acara 50m gaya bebas individu lelaki namun mengakhiri saingan di tempat keempat.

Nasib sama turut menghantui perenang wanita negara apabila Chong Xin Lin yang dilihat berpotensi turut ‘lemas’ apabila menamatkan 50m kuak lentang individu di tempat kelima manakala Kelly Teo Yao bersaing dalam kategori 200m gaya bebas individu di kedudukan ketujuh.

Tiga lagi perenang wanita negara iaitu Andrew Goh Zheng Yen dan Hii Puong Wei masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan kelapan manakala Tan Rouxin yang bersaing untuk acara 200m rampaian individu di tempat terakhir.

Loading...
Terkini