comscore
Tumpuan :
Sukan

Kontinjen Sabah ungguli hari pertama saingan renang

Jaflee Jikol yang menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Sabah di kolam renang. – Foto: Facebook/ Kementerian Belia dan Sukan Sabah

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

KUALA LUMPUR: Kontinjen Sabah paling ceria di hari pertama saingan renang Sukan Para SUKMA 2022 Pusat Akuatik Nasional siang tadi.

Daripada 11 acara akhir yang dipertandingkan, Sabah cemerlang mendominasi podium juara dengan tiga kali dikalungkan pingat emas.

Pasukan negeri dibawah bayu itu memenangi acara 4×100 meter (M) Gaya Bebas Lelaki (L) Berpasukan S1-S10, 100 M Kuak Dada (L) SB8, dan 100 (M) Kuak Lentang (L) S9.

Dua perenangnya Jaflee Jikol dan Abd Halim Mohammad unggul dengan memenangi dua pingat emas menerusi berpasukan dan individu.

Kontinjen Selangor dan Pulau Pinang juga membuka tirai kempen dengan baik menerusi kemenangan dua pingat emas di Bukit Jalil.

Muhammad Zhafri Adam Mohd Azmi dan Muhammad Niyaz Mukhriz Mohd Nazri masing-masing memenangi saingan 50 M Gaya Bebas (L) S14 dan 100 M Gaya Bebas (L) S13.

Manakala Muhammad Nur Faris Ghazali dan Firdaus Fariduddin Noordin menjuarai 100 M Kuak Lentang (L) S5/S6 dan 400 M Gaya Bebas (L) S8/S9 buat Pulau Pinang.

Baki empat lagi pingat emas menjadi milik perenang Terengganu Razak Tambi dalam acara 100 M Kuak Dada (L) SB9, wakil Kuala Lumpur Duran Yaspi Imam Basori menerusi acara 100 M Kuak Lentang (L) S14, Khairul Razi Suliman dari Johor yang memenangi 100 M Gaya Bebas (L) S12 dan perenang Negeri Sembilan Aleeya Fariesya Faizul Rizal dalam acara 100 M Gaya Bebas (W) S14.

Saingan renang dijadual bersambung esok dengan menawarkan sebanyak 14 lagi kilauan pingat emas.

Loading...
Terkini