comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Perancis 2023 : Zii Jia ‘balas dendam’, Tze Yong tepati ramalan

FOTO: BAM/ Facebook

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Perancis di Rennes, lewat malam tadi selepas menewaskan pemain China, Weng Hong Yang.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu berjaya ‘membalas dendam’ kekalahan di tangan Hong Yang pada final Terbuka Denmark di Odense, Ahad lalu.

Pada aksi pusingan pertama di Arena Glaz, Zii Jia mencatat kemenangan 21-15, 21-11 dalam tempoh 45 minit untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua.

Pemain ranking ke-11 dunia itu yang menjuarai Terbuka Artik di Finland awal bulan ini, akan membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain China, Li Shi Feng yang juga pilihan kelapan kejohanan bagi memburu tempat ke suku akhir.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara Ng Tze Yong menepati ramalan apabila melepasi halangan pertama dengan menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-9, 21-9.

Tze Yong dijadual bertemu pemain tuan rumah Arnaud Merkle pada pusingan kedua malam ini.

Dalam pada itu, dua gandingan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.

Tang Jie-Ee Wei akan menentang Reginald Lee-Ng Tsz Yau dari Hong Kong manakala Soon Huat-Shevon juga akan bertemu satu lagi pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas kecundang di tangan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 21-18, 18-21, 15-21. – BERNAMA

Loading...
Terkini