comscore
Tumpuan :
Sukan

Terima berita kematian ayahanda, Azimuddin tetap teruskan perjuangan di Poland

Pemain hoki kebangsaan, Azimuddin Syakir Kamaruddin menghadiahkan gol yang dijaringkannya ketika Malaysia menentang Kanada di Piala Sultan Azlan pada 6 Mei lalu kepada bapanya yang sedang bergelut melawan kanser.

KUALA LUMPUR: Pemain hoki kebangsaan, Azimuddin Syakir Kamaruddin yang telah menerima khabar duka berikutan pemergian ayahandanya hari ini, tetap akan bersama pasukan meneruskan perjuangan membawa cabaran negara bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara yang sedang berlangsung di Poland.

Perkara itu disahkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang memaklumkan ayahanda Azimuddin, Kamaruddin Misman, 52, telah meninggal dunia di Kluang, Johor pagi tadi.

KHM memaklumkan Azimuddin mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan di Poland kerana perjalanan pulang ke Malaysia mengambil masa sehingga 30 jam dan beliau telah mencapai kata sepakat dengan ahli keluarganya berhubung perkara itu.

“Presiden Datuk Seri Subahan Kamal, Ahli Lembaga Eksekutif dan staf KHM ingin menzahirkan ucapan takziah kepada pemain hoki senior lelaki kebangsaan Azimuddin Syakir Kamaruddin, yang kehilangan ayahanda tercinta Allahyarham Kamaruddin Misman, awal pagi ini di Kluang Johor.”

“Kamaruddin Misman atau dikenali sebagai Wak Din tidak asing dalam arena sukan hoki di Malaysia dan merupakan Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN) Johor di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) sejak 2019 hingga akhir usia beliau,” menurut kenyataan KHM.

Menurut KHM, Wak Din juga pernah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih skuad hoki wanita dalam dewan yang muncul juara di Sukan SEA 2019 Filipina.

Piala Negara-Negara, berlangsung sejak Jumaat sehingga 9 Jun.

Setakat ini, skuad negara yang diberi julukan The Speedy Tigers memulakan perlawanan dengan keputusan seri 4-4 bersama Pakistan pada perlawanan pembukaan dan tumpas 1-3 bertemu Perancis semalam.

Kejohanan itu menampilkan dua kumpulan iaitu lima dalam Kumpulan A (New Zealand, Poland, Austria, Afrika Selatan dan Korea Selatan) dan empat (Perancis, Pakistan, Kanada dan Malaysia) dalam Kumpulan B.

Pasukan tempat ketiga dan keempat daripada setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan lima hingga kelapan, manakala perlawanan separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini dan final pada hari berikutnya.

Juara kejohanan ini berpeluang beraksi pada Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini