comscore
Tumpuan :
Sukan

TFC lancar jersi, jurulatih Steinbrukner bimbing pasukan musim 2023

Foto NSTP: Pemain TFC memperagakan jersi baharu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) memperkenalkan jurulatih Tomislav Steinbrukner yang akan membimbing pasukan itu dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Dia akan dibantu Badrul Afzan Razali dan Hairuddin Omar manakala Subri Sulong dipilih membimbing skuad TFC II; Roshadi Wahab dan Haris Safwan Kamal mengendalikan TFC III dan Wan Adremy Indera Wan Adnan dan Abdul Jalal Wahid (TFC IV).

Pada majlis itu, turut dilancarkan jersi ‘home’ dan ‘away’ pasukan dimana kombinasi warna keramat hitam putih menghiasi jersi utama TFC dalam mengharungi saingan Liga M musim ini.

Selain itu, warna hijau hitam dipilih sebagai jersi kedua manakala warna hitam dan krim yang semuanya menggunakan jenama Umbro dipilih sebagai jersi penjaga gol.

Foto NSTP: Pemain TFC memperagakan jersi baharu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis memperkenalkan pemain dan penaja serta pelancaran jersi skuad Penyu itu berlangsung di Dataran Shahbandar, dekat sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Syahrizal Yahya.

Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata konsep jersi ‘home’ dan ‘away’ bagi semua pasukan Terengganu mempunyai makna dan identiti tersendiri bukan sahaja untuk pemain malah peminat setia.

“Konsep jersi pertama mengetengahkan ‘kubu kuat’ TFC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana pasukan bertandang ke stadium berkenaan. Sokongan penyokong yang mengamatkan dan menaikkan semangat sudah pasti menjadi kekuatan kepada pemain sekali gus bakal mengerunkan pihak lawan.

“Konsep jersi kedua berwarna hijau hitam itu melambangkan simbolik petroleum iaitu salah satu sumber ekonomi dan industri di Terengganu. Kita mengharapkan persediaan dan perancangan rapi pasukan bawah kendalian jurulatih Tomislav Steinbrukner ditambah dengan kemasukan lima pemain import baharu serta seorang pemain naturalisasi, TFC mampu menjadi pencabar terkuat dalam Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia),” katanya pada majlis berkenaan.

Sementara itu Ab Rasid berkata, jersi berkenaan sudah berada di pasaran dengan berharga RM129. Katanya, pada musim ini pihak pengurusan menyasarkan kedudukan yang lebih baik berbanding musim lalu.

“Musim lalu kita muncul naib juara Liga M dan Piala FA serta melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia. Jadi pada musim ini kita menyasarkan kedudukan yang lebih baik hasil sentuhan jurulatih dari Croatia itu,” katanya.

Loading...
Terkini