comscore
Tumpuan :
Sukan

JDT terus ‘mendonia’

GANDINGAN trio serangan JDT ini mendahului senarai penjaring terbanyak untuk musim 2022/2023 mengatasi beberapa kelab Eropah dan Amerika Latin seperti Manchester United, PSG dan Flamengo. -FOTO: Nur Aisyah Mazalan / NSTP

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus ‘mendonia’ apabila ledakan gol oleh jentera serangan mereka mendapat perhatian laman transfermarkt.com sebagai paling berbisa di dunia.

Kehebatan trio serangan menerusi Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Fernando Forestieri cukup menggerunkan barisan pertahanan lawan tanpa mengira kejohanan di peringkat domestik mahupun di peringkat Asia.

Malah, nama mereka boleh dikatakan mengharumkan Liga Malaysia di persada antarabangsa apabila berjaya mengatasi trio Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Neymar.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan laman transfermarkt.com, gandingan trio serangan JDT ini mendahului senarai penjaring terbanyak untuk musim 2022/2023 mengatasi beberapa kelab Eropah dan Amerika Latin seperti Manchester United, PSG dan Flamengo.

Dengan jumlah keseluruhan 79 jaringan sejak 2022, JDT mendahului senarai dihadapan Manchester City dengan 72 gol, Flamengo 71 gol, Fluminense 69 gol dan PSG dengan 68 gol.

Bergson Da Silva adalah peledak paling prolifik dengan 46 gol mengatasi Erling Haaland (45 gol), German Cano (44 gol) dan Kylian Mbappe dengan 31 gol manakala Fernando Forestieri menyumbang 25 gol dan Arif Aiman dengan lapan gol buat JDT.

Lebih mengharukan, turut terselit adalah pemain lincah tempatan Arif Aiman Hanapi berjaya bersaing dengan bakat terbaik dunia dan ini membuktikan dia mempunyai bakat luar biasa dan menjadi tunjang kejayaan JDT kini.

Arif aiman diletakkan sebaris dengan penyerang prolifik dan terbaik dunia sekali gus membuktikan pemain negara juga berkualiti dan mampu memberikan persembahan terbaik.

Tonggak Harimau Malaya itu antara pemain tempatan yang tersenarai selain Phil Foden untuk Manchester City dan Kylian Mbappe buat PSG manakala kelab dua kelab Brazil diwakili pemain tempatan mereka.

Jumlah jaringan antara trio ini pasti akan bertambah dan berubah kerana berdasarkan prestasi semasa, JDT dilihat begitu dahagakan gol dan sudah menjaringkan 36 gol dari lapan perlawanan Liga Super.

Skuad Harimau Selatan juga muncul satu-satunya pasukan dari Asia yang tersenarai dalam statistik ini sekali gus membuktikan kejayaan JDT sudah mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan ini akan membantu meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia.

Loading...
Terkini