comscore
Tumpuan :
Sukan

Young Tigers kekal rekod tanpa kalah

Foto : Malaysian Hockey Confederation / Facebook

Oleh: Fariz Zolkarnain

PETALING JAYA : Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah pada Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman apabila menewaskan tuan rumah 1-0 pada aksi terakhir kumpulan B, awal pagi tadi.

Gol tunggal permainan dijaringkan oleh Shahmie Irfan Suhaimi menerusi penalti stroke pada minit ke-48.

Kejayaan itu menyaksikan Young Tigers muncul juara kumpulan B dengan 12 mata sekaligus menempah pertemuan menentang juara tiga kali, Pakistan di separuh akhir Khamis ini.

“Untuk perlawanan hari ini, kami mencapai objektif untuk menutup perlawanan dengan kemenangan, namun secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan persembahan pemain terutamanya kami melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol padang serta gol pukulan sudut penalti.

“Saya boleh lihat juga pemain agak sambil lewa dan jika pemain tidak mengubah sikap ini, pasukan akan menghadapi masalah pada aksi separuh akhir dan saya amat berharap ini hanya satu perlawanan terburuk kami dalam kejohanan ini.

“Dari awal bermulanya kejohanan, kami tahu kami mempunyai peluang untuk kekal berada di kedudukan teratas kumpulan dan pada tiga perlawanan pertama, pemain-pemain telah membuktikannya.

“Saya berharap mereka akan kembali konsisten dan tidak terbawa-bawa dengan apa yang telah ditampilkan hari ini,” kata jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhammad Amin Rahim.

Mengulas lanjut aksi menentang Pakistan nanti, Muhammad Amin percaya anak buahnya mempunyai masa yang cukup untuk kembali memperkemaskan permainan.

“Kami mempunyai tempoh dua hari untuk mempersiapkan pasukan dan tempoh tersebut kami akan gunakan dengan sebaiknya bagi proses pemulihan pemain serta melakukan analisa kekuatan serta kelemahan Pakistan.

“Pakistan dan India di dalam Kumpulan A merupakan pasukan yang terkuat tetapi terdapat juga beberapa kelemahan yang kami dapat kenalpasti pada pasukan Pakistan dan saya berasa jika kami turun pada aksi separuh akhir dengan semangat yang sama yang telah ditunjukkan pada tiga perlawanan awal, saya tidak melihat kenapa kami tidak boleh untuk menjelmakan satu keputusan yang baik,” jelasnya.

Young Tigers dijadual menentang Pakistan di separuh akhir, Khamis ini jam 1 pagi waktu Malaysia.

Loading...
Terkini