comscore
Tumpuan :
Tragedi

Kucup Pipi Ibu, Ucap Hari Lahir Pada Malam Sebelum Kejadian

Mangsa lemas ditemui pasukan bomba dan disahkan maut ditempat kejadian. – FOTO : Ihsan bomba

JOHOR BAHRU : Remaja yang ditemui lemas dalam kejadian di Tasik Tiga Beradik, Seri Alam, Pasir Gudang, pagi tadi, sempat menzahirkan ucapan Selamat Hari Lahir buat ibunya, malam tadi.

Mohd Aidil Haiziryn Zulkarnain, 15, yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu turut mengucup pipi ibunya, Norhaliza Hussin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-43.

Bapa remaja berkenaan, Zulkarnain Mohd Ali, 46, berkata, dia tidak menyangka ia akan menjadi petanda anak lelakinya itu akan pergi buat selamanya dan detik itu akan menjadi kenangan berharga buat mereka sekeluarga.

“Semalam, arwah ada ucapkan Selamat Hari Lahir buat ibunya yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-43.

“Bukan itu saja, arwah juga ada memberikan ciuman kepada isteri. Tidak sangka itu adalah yang terakhir,” katanya.

Terdahulu, Mohd Aidil Haiziryn ditemui lemas, manakala seorang lagi rakan sekolahnya terselamat ketika mandi di tasik berkenaan.

Kedua-dua remaja itu dikatakan ke lokasi kejadian bersama empat lagi rakan sekolah mereka termasuk dua rakan perempuan.

Mereka dipercayai ke sana untuk melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk mandi di tasik terbabit.

Menurut Zulkarnain, arwah ada memintanya hantar ke lokasi terbabit, namun dia tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai urusan lain.

“Saya tahu dia mahu ke sana sebab dia ada beritahu dan minta saya hantarkan. Tetapi, sebab saya ada urusan lain, jadi dia menumpang kereta bapa rakannya. Saya tidak sangka pula ini yang terjadi,” katanya.

Zulkarnain berkata, anaknya tidak pandai berenang, namun gemar melakukan aktiviti mendaki dan kerap ke kawasan terbabit bersama rakan-rakannya.

Jenazah Allahyarham Mohd Aidil Haiziryn akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, esok selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Loading...
Terkini