comscore
Tumpuan :
Tragedi

Murid Tahun Enam Maut Dipercayai Dipanah Petir Ketika Guna Telefon Bimbit

M. Nor Zawawi Awang menunjukan gambar Nur Asyqin Qistina di Hospital Gua Musang, di sini, hari ini. FOTO: NST

GUA MUSANG: Seorang murid Tahun Enam maut dipercayai dipanah petir ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Kuala Betis, di sini, petang Isnin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Nur Asyqin Qistina M Nor Zawawi, 12, ditemukan tidak sedarkan diri oleh ibunya, Siti Noraini Rashid, 41, di dalam biliknya.

Menurut bapa kanak-kanak terbabit, M Nor Zawawi Awang, 54, sebelum kejadian dia berada di surau berdekatan untuk menunaikan solat Asar sebelum terdengar dentuman petir serta hujan.

“Isteri datang memaklumkan bekalan elektrik di rumah terputus. Saya pulang ke rumah dan memeriksa kerosakan sebelum kembali ke surau.

Tidak lama kemudian isteri datang memaklumkan anak saya ditemui tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di rumah, saya lihat Nur Asyqin Qistina sudah tidak sedarkan diri dan terdapat kesan terbakar pada tangan kanan dan tilam selain terdapat telefon bimbit berhampiran.

“Dia mungkin kena panah petir ketika menggunakan telefon bimbit berdasarkan kesan terbakar di tangan selain telefonnya juga rosak.

“Apa yang berlaku sangat mengejutkan kami sekeluarga namun kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, di sini.

Menurutnya, dia membawa Nur Asyqin Qistina ke Klinik Kuala Betis dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah anak keempat daripada lima beradik itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini