comscore
Tumpuan :
Tragedi

Selepas 7 Hari, SAR Chung Yun Ditamatkan Hari Ini

Anggota bomba meneruskan pencarian mangsa di sungai berdekatan feri Tanjung Maling, Sungai Bidut, Sibu. – FOTO: NSTP

SIBU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja yang dilapor hilang ketika mandi di sungai berdekatan feri Tanjung Maling, di Sungai Bidut di sini, ditamatkan hari ini.

Selepas tujuh hari operasi SAR dijalankan, pasukan penyelamat gagal menemukan sebarang petunjuk kehilangan mangsa, Tan Chung Yun, 13.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Penguasa Bomba Kanan ll Terrance Jimbun, berkata pasukan SAR disertai anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) menyambung semula operasi jam 8.22 pagi tadi.

“Operasi pencarian di permukaan air dalam radius 20 kilometer dilakukan empat anggota Bomba dengan menggunakan sebuah bot penyelamat menelusuri Sungai Rajang dan Sungai Batang Igan.

“Bagaimanapun, mangsa masih gagal dijumpai dan pihak polis sudah mengeluarkan arahan bagi menamatkan operasi pencarian jam 6 petang tadi,” katanya melalui kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Ahad lalu, Chung Yun mandi di sungai berkenaan bersama dua rakannya.

Chung Yun disedari hilang apabila dua rakan mereka yang naik ke tebing selepas mandi menyedari mangsa tidak kelihatan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini